Home » Langit Terbuka » Judi dalam talian makin serius

Judi dalam talian makin serius

KUALA LUMPUR 4 Ogos – Penularan kegiatan judi dalam talian semakin membimbangkan apabila golong­an pelajar sekolah sudah mula terjebak dengan aktiviti haram itu.

Apa tidaknya, tinjauan Utusan Malaysia mendapati segelintir pelajar mengakui tahu malah turut bermain permainan judi dalam talian itu berikutan ope­rator judi terbabit kini semakin berani menawarkan permainan berkenaan secara terbuka.

Lebih menyedihkan, mereka sanggup menggunakan wang sa­ku yang diberikan ibu bapa untuk bermain judi dalam talian yang boleh diakses di mana sahaja, pada bila-bila masa selagi mempunyai akses internet.

Menurut seorang pelajar tingkatan empat, dia terpengaruh selepas melihat iklan-iklan judi dalam talian yang kini tersebar luas di laman sosial seperti Facebook.

“Mereka (operator judi) letak gambar duit dan orang menang besar selepas main permainan ditawarkan, itu yang buat saya hendak cuba.

“Pada mulanya saya tidak mahir, tetapi sekarang sudah tahu cara untuk bermain kebanyakan permainan disediakan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Bagi seorang lagi pelajar, dia yang turut mengakui pernah berkunjung ke premis mesin judi internet memaklumkan bermain melalui internet lebih selamat.

“Saya memang pernah pergi kedai mesin itu, tetapi kadang-kadang tidak boleh masuk kerana memakai uniform.

“Lagipun sekarang sudah ada cara ini, lebih senang dan paling penting selamat kerana premis judi ini lebih berisiko ditahan polis,” katanya.

Tambah seorang pelajar, dia mengetahui tentang permainan judi itu daripada rakannya selain turut menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) menawarkan akti­viti judi itu daripada nombor tidak dikenali .

“Caranya amat ringkas untuk dimainkan dan boleh dimainkan di mana sahaja.

“Selalunya saya akan bermain di rumah menggunakan telefon bimbit dan akan ke bank untuk mendepositkan duit bagi menambah kredit taruhan,” katanya.

Utusan Malaysia pada 1 Ogos lalu melaporkan operator judi internet terus berani menawarkan aktiviti perjudian secara terbuka kepada orang ramai melalui kiriman SMS termasuk mengiklankan kegiatan haram itu di laman sosial Facebook.

Modus operandi itu membolehkan pen­judi bermain meng­­gunakan gajet seperti telefon bimbit, peranti tab termasuk komputer peribadi tanpa mengira waktu dan lokasi.

www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *