Home » Langit Terbuka » Kerajaan jamin kekal subsidi haji

Kerajaan jamin kekal subsidi haji

KUALA LUMPUR 4 Ogos – Datuk Seri Najib Tun Ra­zak memberi jaminan ba­ha­wa kerajaan akan mengekalkan dasar pemberian subsidi setiap tahun kepada jemaah haji dari negara ini.

Perdana Menteri berkata, subsidi yang ditanggung Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) tahun ini mencatatkan rekod dengan jumlah RM8,910 bagi setiap jemaah.

Menurut beliau, kos keseluruhan subsidi tahun ini adalah sebanyak RM160 juta dan jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding RM150 juta tahun lalu.

“Tiap-tiap tahun bila saya jumpa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, mereka amat keberatan untuk mengesyorkan supaya subsidi haji ini ditarik balik atau dikurangkan.

“Sebab itu, saya menerima syor selagi boleh, selagi termampu, kita akan terus mengekalkan dasar memberi subsidi yang besar kepada jemaah haji kita,” katanya ketika berucap dalam Majlis Mengucapkan Selamat Jalan Kepada Jemaah Haji Malaysia di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Jamil Khir; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki; Duta Arab Saudi di Malaysia, Datuk Fahad Abdullah Al-Rashid; Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri; Abdul Azeez dan Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Johan Abdullah.

Perdana Menteri turut menasihatkan jemaah haji Malaysia supaya bersedia menghadapi langkah-langkah keselamatan tambahan yang diambil kerajaan Arab Saudi berikut insiden keganasan berhampiran Masjid Nabawi pada Ramadan lalu.

Beliau memberitahu, setiap jemaah dikehendaki menjalani imbasan cap 10 jari melalui sistem biometrik dan mesin pengimbas keselamatan dipasang di pintu masuk setiap hotel di Madinah.

“Jemaah haji wanita pula dikehendaki memakai gelang yang mempunyai cip di dalamnya,” jelasnya.

Najib menambah, petugas-petugas Tabung Haji di tanah suci juga akan menganjurkan taklimat keselamatan bagi semua jemaah haji Malaysia.

Beliau berkata, jemaah haji Malaysia hendaklah mengelakkan diri daripada melakukan sebarang perkara yang boleh mencemarkan nama baik negara atau membawa kesan tidak baik terhadap ibadah mereka.

“Saya juga berharap prestasi dan imej jemaah haji Malaysia dapat dipertahankan.

“Setiap kali apabila saya bertemu dengan Raja Arab Saudi, sama ada sekarang atau dahulu, mereka semua memuji dan mengatakan jemaah haji Malaysia sangat baik dan berdisiplin,” katanya.

Perdana Menteri turut berharap semua jemaah haji Malaysia mendoakan kesejahteraan dan keamanan negara semasa di tanah suci lebih-lebih lagi dalam suasana banyak negara menjadi sasaran serangan pengganas serta sedang bergolak mutakhir ini.

Beliau menambah, umat Islam di Malaysia juga perlu mengambil iktibar daripada ibadah haji de­ngan terus bersatu hati tanpa melihat kepada sebarang perbezaan yang boleh memecah-belahkan kesatuan ummah dan keharmonian masyarakat.

www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

Tiga mahasiswa USIM dakwah di New Zealand

SEREMBAN – Tiga mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) meneruskan perjuangan dakwah penyebaran syiar Islam melalui latihan industri di Masjid Al Noor,

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *