Home » Langit Terbuka » Jumlah jemaah solat fardu di Melaka ditambah

Jumlah jemaah solat fardu di Melaka ditambah

Walaupun bilangan jemaah solat Jumaat dikekalkan, JAIM tetap menggalakkan semua masjid dan surau memperdengarkan bacaan Yasin dan doa menghindari COVID-19 yang dibacakan Mufti Melaka. - Foto NSTP

MELAKA – Jumlah jemaah di semua masjid dan surau di negeri ini untuk setiap solat fardu akan ditambah susulan permintaan umat Islam menerusi ahli jawatankuasa masjid masing-masing.

 

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat, berkata kerajaan negeri menerusi keputusan mesyuarat EXCO pada 15 Julai menetapkan jumlah maksimum jemaah bagi masjid kerajaan, kariah serta institusi adalah 50 orang, manakala surau pula 20 orang.

 

Katanya, jumlah itu meningkat berbanding 12 jemaah sebelum ini di semua masjid dan surau di negeri itu.

 

Bagaimanapun, beliau berkata, jumlah jemaah bagi solat Jumaat adalah kekal kepada 250 orang bagi masjid kerajaan, 100 orang (masjid kariah dan institusi) serta 50 orang (surau yang dibenarkan mendirikan solat Jumaat).

 

“Perubahan kepada ketetapan jumlah maksimum jemaah bagi solat fardu itu berkuatkuasa hari ini sehingga terdapat perubahan baharu yang akan ditentukan kelak.

 

“Sehubungan itu, seluruh jawatankuasa masjid dan surau di negeri ini diminta mematuhi ketetapan baharu ini berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan menerusi Pekeliling JAIM Bilangan 11/2021 bertarikh 31 Mei lalu.

 

“Kebenaran pelaksanaan aktiviti boleh ditarik balik sekiranya pentadbiran masjid dan surau gagal mematuhi SOP yang ditetapkan itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu, Che Sukri berkata, walaupun bilangan jemaah solat Jumaat dikekalkan, JAIM tetap menggalakkan semua masjid dan surau memperdengarkan bacaan Yasin dan doa menghindari COVID-19 yang dibacakan Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil sebelum khutbah dibaca oleh khatib bertugas.

 

Katanya, langkah itu bagi melengkapkan kesungguhan umat Islam untuk mendapatkan perlindungan Allah SWT daripada pandemik berkenaan.

 

Pada Mei lalu, JAIM meminta semua masjid dan surau di negeri ini memperdengarkan bacaan Yasin, al-Quran serta doa khas bagi memohon perlindungan daripada COVID-19 serta kesejahteraan rakyat Palestin yang dizalimi rejim Zionis.

 

Alunan bacaan itu akan diperdengarkan menerusi alat siar raya masjid untuk membolehkan ahli kariah masjid serta surau turut serta dalam bacaan Yasin serta mengaminkan doa itu.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *