Home » Langit Terbuka » Jurunikah diberi kuasa tangguhkan pernikahan

Jurunikah diberi kuasa tangguhkan pernikahan

Majlis akad nikah di Terengganu hanya perlu dihadiri seorang jurunikah, pengantin lelaki dan perempuan, seorang wali, empat saksi serta perjalanan akad nikah hendaklah dipendekkan tidak melebihi 20 minit, tegas JHEAT. - Foto Affendi Fotografi

KUALA TERENGGANU – Jurunikah di seluruh negeri ini diberi kuasa sepenuhnya menangguhkan pernikahan jika penganjur gagal mematuhi langkah pencegahan COVID-19.

Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mat Azmi Arshad, berkata mereka yang sudah diberi kebenaran berkahwin sebelum perintah kawalan pergerakan dikuatkuasa dicadang menangguhkan sehingga keadaan pulih sepenuhnya.

Bagaimanapun, jika pasangan mahu meneruskan juga majlis akad nikah, mereka perlu mematuhi tata cara pernikahan dikeluarkan JHEAT.

“Pasangan yang mahu meneruskan majlis akad nikah perlu menggunakan premis sendiri dan tak boleh dibuat di masjid, surau atau tempat awam.

“Majlis akad nikah hanya perlu dihadiri seorang jurunikah, pengantin lelaki dan perempuan, seorang wali, empat saksi serta perjalanan akad nikah hendaklah dipendekkan tidak melebihi 20 minit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi selepas mengeluarkan tata cara pernikahan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa semalam hingga akhir bulan ini.

Mat Azmi berkata, ahli keluarga pasangan diminta menyediakan topeng penutup mulut dan hidung, selain cecair pencuci tangan dan cuba elakkan bersalaman.

Ahli keluarga pasangan pengantin juga perlu menyerahkan nama, alamat semasa dan nombor telefon jemputan yang hadir kepada jurunikah.

“Kita juga menasihatkan agar majlis kenduri ditangguhkan.

Ahli keluarga pengantin diminta menjarakkan sekurang-kurangnya satu meter daripada pesakit yang mempunyai gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk, selesema sakit tekak,” katanya. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *