Home » Langit Terbuka » Kabinet baharu Fatah angkat sumpah

Kabinet baharu Fatah angkat sumpah

Barisan Kabinet baharu Fatah, pimpinan Mahmoud Abbas, yang mengangkat sumpah semalam (13 April). - Foto Reuters

RAMALLAH – Presiden Palestin, Mahmoud Abbas semalam, mengangkat sumpah kerajaan baharu diketuai pengikut setia parti Fatah pimpinannya, tindakan ditolak lawannya dari Hamas sebagai tamparan terhadap usaha penyatuan.

Mohammed Shtayyeh, seorang pakar ekonomi dan penasihat sekian lama Abbas, akan memegang jawatan Perdana Menteri Pihak Berkuasa Palestin (PA) berpusat di Tebing Barat sementara Menteri Luar Riyad al-Maliki dan Menteri Kewangan, Shukri Bishara, kekal dengan jawatan mereka.

Shtayyeh dinamakan Perdana Menteri Palestin 10 Mac lalu, menggantikan Rami Hamdallah. Beliau juga ditugaskan memegang portfolio Menteri Dalam Negeri dan Hal Ehwal Agama sehingga individu lain dinamakan untuk dua jawatan berkenaan.

Kumpulan Islam Hamas yang mentadbir Gaza menyifatkan tindakan itu tamparan terhadap usaha penyatuan yang gagal sejak kedua-dua kumpulan menandatangani satu perjanjian penyatuan baharu di Kaherah pada Oktober 2017, namun pertelingkahan berhubung perkongsian kuasa menyekat pelaksanaan perjanjian berkenaan.

“Ini adalah satu kerajaan pemisah, ia tiada pengesahan nasional dan akan mengukuhkan peluang memutuskan Tebing Barat dari Gaza,” kata kenyataan dikeluarkan Hamas ketika upacara angkat sumpah berlangsung di sini.

Dua puak yang menganggotai Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) milik Abbas enggan mengambil bahagian dalam kerajaan diketuai Shtayyeh.

Cabaran dihadapi Shtayyeh ialah mengukuhkan PA yang kekurangan tunai, terhad dengan kepimpinan sendiri di Tebing Barat mengikut perjanjian damai sementara dengan Israel.

PA terkekang berikutan langkah pemotongan bantuan Amerika Syarikat (AS), malah krisis diburukkan lagi oleh pertelingkahan dengan Israel yang menahan kira-kira lima peratus hasil cukai bulanan kepada Palestin.

Pada masa sama, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu yang menang penggal kelima dalam pilihan raya 9 April lalu berikrar untuk menjajah wilayah Palestin di Tebing Barat jika dipilih semula.

Pemimpin Palestin berkata, Israel diperkasa oleh Presiden Donald Trump untuk ‘melanggar hak asasi dan negara rakyat Palestin.’

Bercakap kepada anggota kabinet baharunya, Abbas mengulangi penolakan pelan damai Trump dan berkata, tiada guna bercakap dengan Trump selepas beliau memindahkan Kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis dan mengiktiraf bandar suci itu sebagai ibu kota Zionis. – Berita Harian

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *