Home » Langit Terbuka » Kabinet setuju 18 tahun boleh mengundi

Kabinet setuju 18 tahun boleh mengundi

Menteri Belia dan Sukan berkata, usul menurunkan had umur mengundi akan dibawa ke Parlimen untuk mendapat kelulusan sebelum dilaksanakan

PUTRAJAYA – Kabinet hari ini bersetuju untuk menurunkan had umur layak mengundi di negara ini kepada 18 tahun berbanding 21 tahun sekarang.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, usul menurunkan had umur itu akan dibawa ke Parlimen untuk mendapat kelulusan sebelum dilaksanakan.

“Mesyuarat Kabinet hari ini telah mengambil ketetapan untuk membuat perubahan had umur layak mengundi kepada 18 tahun berbanding 21 tahun sekarang.

“Kita memerlukan undi dua pertiga di Parlimen untuk membolehkan pindaan had umur ini dilaksanakan,” katanya dalam sidang akhbar di kementeriannya di sini hari ini.

Menurut Syed Saddiq, Peguam Negara, Tommy Thomas serta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga telah menyatakan persetujuan dalam pindaan had umur itu.

Selain itu katanya, beliau yakin pada Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti, mereka yang berumur 18 tahun akan dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

Pada Julai lalu, Syed Saddiq telah berjumpa dengan Peguam Negara bagi membincangkan pindaan undang-undang untuk menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun. – Utusan Malaysia

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *