Home » Citra Yadim » KAGAT pelawa YADIM sertai ‘operasi’

KAGAT pelawa YADIM sertai ‘operasi’

Yang Dipertua YADIM (kanan) semasa menerima kunjung hormat daripada KAGAT

PUTRAJAYA – Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) mempelawa Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) untuk turut serta dalam Program Dakwah Kawasan Operasi (Prodaksi) anjurannya, terutamanya di pedalaman Sabah dan Sarawak.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi dan Pembangunan Insan KAGAT, Brigadier Jeneral Dato’ Haji Nawawi Daud berkata, melalui Prodaksi, pihaknya turut menyasarkan dakwah kepada masyarakat awam  di sekitar kawasan operasi pihaknya.

Menurutnya, Prodaksi merupakan operasi tahunan pihaknya, yang pada asalnya disasarkan kepada anggota tentera yang bertugas di perbatasan.

“Prodaksi merupakan program dakwah yang ditujukan sebagai pengisian bina insan kepada anggota di kem dan pos tentera, contohnya di sempadan negara, namun sebagai mengambil tanggungjawab sosial, kami luaskan dan sebarkan juga kepada masyarakat umum di sekitarnya.

“Untuk YADIM kami mempelawa untuk terlibat dengan program pada 19 hingga 23 Ogos ini di Selatan Semporna, Sabah,” jelas beliau.

Nawawi berkata demikian dalam kunjungannya kepada Yang Dipertua YADIM, Yang Berusaha Ustaz Nik Omar Nik Ab Aziz di sini hari ini (18 April 2019).

Hadir sama ialah  Ketua Dakwah KAGAT, Leftenan Kolonel Dr Haji Khairul Fauzi  Azmi, serta Ketua Pasukan Dakwah Medan (PASDAM), Mejar Azlisham Abdul Aziz.

Menurut Nawawi, untuk masyarakat awam, antara program yang dicadangkan ialah gotong royong, motivasi sekolah, ziarah dakwah, edaran risalah, forum perdana serta kajian selidik tahap kesedaran.

Tambahnya, Prodaksi menerusi PASDAM sedia bekerjasama dengan Dai’e Yadim yang telah ditempatkan di Sabah.

“KAGAT juga sedia berkongsi modul dakwah kami dengan YADIM… kita akan adakan mesyuarat susulan sekiranya YADIM setuju untuk terlibat sama dalam operasi kita.

“Selain operasi di kawasan seperti ini, KAGAT juga berminat untuk bekerjasama dalam program dakwah di kawasan bandar,” ujar Nawawi.

Melalui pertemuan hari ini, Nawawi dan Nik Omar juga berbincang mengenai kaedah kaedah yang difikirkan sesuai untuk membanteras gejala sosial khususnya melibatkan anak muda menggunakan kaedah dakwah. Beliau juga turut mempelawa YADIM untuk mengadakan kuniungan balas ke pejabat KAGAT di Kementerian Pertahanan.

Kagat sebelum ini pernah bekerjasama dengan YADIM dengan melatih Felow Muda Dakwah YADIM sebanyak dua siri.

Sementara itu, Nik Omar semasa sesi kunjungan sempat menerangkan mengenai gerak kerja serta operasi YADIM.

Berhubung pelawaan kerjasama dengan KAGAT, beliau menyambutnya dengan baik sambil menambah, adalah sangat baik bagi pihaknya terlibat dengan sesuatu yang baharu seperti kerjasama dakwah dengan pihak tentera.

 

 

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *