Home » Citra Yadim » Sambutan hangat Fastabiqul Khairat YADIM

Sambutan hangat Fastabiqul Khairat YADIM

sebahagian peserta Fastabiqul Khairat ketika mendengar ucaptama Yang Dipertua YADIM

PUTRAJAYA – Program Fastabiqul Khairat anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini pada 16 April lalu mendapat sambutan sangat baik daripada orang ramai.

Dianggarkan 300 orang menghadiri program tersebut walaupun pada awalnya sasaran kehadiran hanya sekitar 200 orang.

Para peserta program terdiri daripada pemimpin dan aktivis badan bukan kerajaan (NGO), pegawai agensi agama Islam, entiti berkaitan YADIM seperti Sahabat YADIM dan Sukarelawan Al Rahmah, pelajar universiti dan sebagainya.

Antara NGO yang hadir termasuklah Pertubuhan Ikram Malaysia , Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan, Yayasan Ihtimam, Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia, Pertubuhan Tindakan Wanita Islam Malaysia, Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia dan  Pertubuhan Penawar Warisan

Program dimulakan dengan ucaptama oleh Yang Dipertua YADIM, Yang Berusaha Ustaz Nik Omar Nik Ab Aziz, sebelum diadakan majlis pelancaran buku Fastabiqul Khairat nukilan Nik Omar sendiri. Majlis pelancaran disempurnakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri.

Sesi seterusnya merupakan forum khas bertajuk ‘Malaysia Negara Rahmah’ yang dipengerusikan oleh penceramah bebas terkenal negara, Dr Hj Mohd Farid Ravi Abdullah.

Pengerusi Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia ,Datuk Dr Mohd Daud Bakar, serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah YADIM, Y.Bhg. Datuk Wira Ustaz Haji Abdul Ghani Samsudin merupakan ahli panel kepada forum ini.

Sementara itu, Nik Omar dalam sidang media selepas pelancaran buku Fastabiqul Khairat berkata, program tersebut merupakan permulaan kepada usaha YADIM untuk menggerakkan operasi dakwahnya secara aktif selepas menjalani penstrukturan semula.

Jelas beliau sebarang gerak kerja dakwah YADIM nanti akan berpandukan kepada tiga prinsip utama iaitu mengubah pemikiran, nasihat menasihati serta operasi kehidupan.

‘”Melalui Fastabiqul Khairat kita juga berhasrat mengajak orang ramai berlumba lumba melakukan kebaikan tanpa mengira batas agama, kaum, bahasa dan sebagainya.

“Apabila oramg ramai berlumba lumba melakukan kebaikan, kita tiada ruang untuk melakukan sesuatu yang buruk, “jelasnya.

Fastabiqul Khairat yang diadakan secara kerjasama dengan TV Hijrah sebagai rakan strategik bersama dalam Kluster Media dan Dakwah Jabatan Perdana  Menteri merupakan program berskala besar YADIM yang pertama selepas Nik Omar dilantik menerajui badan dakwah itu.

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *