Home » Langit Terbuka » Kajian enakmen pentadbiran agama Islam, tatacara jenayah di peringkat akhir

Kajian enakmen pentadbiran agama Islam, tatacara jenayah di peringkat akhir

SEREMBAN 20 Sept.  – Kajian ke atas Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003 dan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 kini di peringkat akhir untuk menentukan sama ada ia perlu dipinda atau diwujudkan enakmen baharu.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ini memandangkan ada di antara fasal tertentu di dalam enakmen berkenaan yang tidak lagi sesuai untuk dilaksanakan dalam keadaan semasa, yang sekali gus menyukarkan proses pendakwaan dan hukuman.

“Ini kerana ada di antara (fasal tertentu dalam) enakmen kita yang sudah tidak sesuai, ada (fasal tertentu) di dalam enakmen itu yang baik tapi kaedahnya dah tak sesuai lagi dan ada (fasal tertentu dalam) enakmen yang langsung tak ada kaedah.

“Jadi susah kita nak menjalankan pendakwaan dan bila nak menjatuhkan penghakiman. Hujah-hujah akan boleh dibuat disebabkan kelemahan pentadbiran ini dan ia akan mencacatkan sistem pentadbiran dan sistem kehakiman kita.

“Akan menjadi suatu kelompongan yang orang boleh gunakan kelemahan ini untuk berdebat dan mempersendakan sistem kehakiman syariah itu”, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pentauliahan Peguam Syarie Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Mohamad berkata, kajian itu, yang disertai Mufti, Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri Datuk Iskandar Ali Dewa, Ketua Hakim Syarie Negeri, ahli akademik, pakar perundangan dan pengerusi persatuan peguam syarie, bertujuan memperkasa sistem perundangan kekeluargaan, pentadbiran agama dan sistem kehakiman syariah dan jenayah syariah.

Sementara itu, Mohamad berkata, bagi memperkasakan sistem kehakiman syariah di negeri ini, kerajaan negeri telah memperakukan dan meluluskan penubuhan Jabatan Pendakwaan, sebuah entiti berasingan yang sebelum ini diletakkan di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri.

“Kita sedang berunding sekarang dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) untuk mendapatkan waran-waran perjawatan supaya pendakwa raya tidak lagi di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam.

“Ini supaya kita nampak sistem kehakiman syariah dari peringkat pendakwaan sampailah perbicaraan dan penghakimannya merupakan satu sistem yang berdikari dan tidak dinaungi oleh mana-mana pihak. Kita perlukan lebih ramai pendakwa raya bagi melicinkan urusan pentadbiran syariah kita,” katanya.

Terdahulu, Ketua Hakim Syarie Negeri, Datuk Mohd Shukor Sabudin dalam ucapannya berkata, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri juga bersedia menerima Hakim Syarie Wanita dalam memastikan kelancaran tugas-tugas pentadbiran dan urusan perundangan syariah.

“Persepsi masyarakat Islam khususnya di Negeri Sembilan bertambah positif terhadap Mahkamah Syariah dengan kewujudan atau kehadiran hakim-hakim wanita ini,” katanya. – Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *