Home » Langit Terbuka » Simpanan Syariah KWSP rancakkan sukuk global

Simpanan Syariah KWSP rancakkan sukuk global

KUALA LUMPUR 20 Sept. – Pelancaran simpanan patuh syariah oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Simpanan Syariah, dapat menyuntik semangat baharu kepada pasaran sukuk global memandangkan penerbitan bon Islam itu dijangka lebih perlahan dalam tempoh dua tahun akan datang.

Ketua Global Kewangan Islam Moody’s Investors Service (Moody’s), Khalid Ferdous Howladar berkata, peruntukkan RM100 bilion oleh KWSP untuk dilaburkan di dalam instrumen kewangan patuh syariah juga dilihat memadai untuk melanggan sukuk-sukuk yang akan diterbitkan.

“Tawaran dana sebanyak itu oleh KWSP menarik minat pasaran dunia untuk menerbitkan sukuk kerana penerbit-penerbit mengetahui terdapatnya sebuah pengendali dana pencen milik kerajaan yang memperuntukkan wang untuk dilaburkan di dalam aset-aset patuh syariah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Simpanan Syariah KWSP akan bermula Januari 2017 dengan peruntukkan RM100 bilion iaitu sekitar 15 peratus daripada ke­seluruhan jumlah aset pelaburan KWSP sebanyak RM681.71 bilion setakat 30 Mac lalu.

Mengulas lanjut Khalid berkata, langkah KWSP itu juga dapat membantu pasaran sukuk dunia yang berisiko untuk mengalami penurunan kerana negara-negara di Asia Barat sudah terarah untuk menerbitkan bon konvensional kerana mendapati kaedah itu lebih mudah berbanding penerbitan sukuk.

Katanya, hal itu berlaku ke­rana negara-negara rantau Arab kini berdepan kesukaran untuk mendapatkan pembiayaan akibat harga minyak dunia yang rendah menyebabkan mereka beralih kepada mendapatkan dana secara penerbitan bon.

“Mereka menganggap penerbitan bon konvensional adalah lebih mudah dan murah kerana tidak perlu memberi penjelasan panjang lebar kepada pelabur-pelabur asing khususnya di Amerika Syarikat. Berdasarkan trend ini, nilai penerbitan sukuk untuk tahun ini dan 2017 dijangka lebih perlahan,” katanya.

Namun katanya, kelembapan pasaran sukuk mungkin dapat diimbangi dengan usaha Indonesia yang giat membangunkan sistem kewangan Islamnya.

Beliau bagaimanapun berkata, industri kewangan Islam di Malaysia jauh meninggalkan negara-negara lain kerana sistem kewangan Islam di negara ini lebih matang disebabkan mempunyai pasaran domestik yang kukuh, pemain industri yang sentiasa menyokong satu sama lain sehingga tidak lagi memerlukan sokongan kerajaan.

Moody’s juga melihat pencapaian Malayan Banking Bhd. (Maybank) yang berjaya mengumpul lebih ba­nyak pembiayaan patuh syariah berbanding konvensi­onal pada tahun 2015, menerusi unitnya Maybank Islamic Bhd. (Maybank Islamic) mampu diikuti oleh bank-bank tempatan lain berdasarkan dasar polisi semasa yang mengutamakan produk patuh syariah.

https://www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *