Home » Citra Yadim » Kakitangan YADIM cemerlang terima anugerah

Kakitangan YADIM cemerlang terima anugerah

KUALA LUMPUR 25 Mei – Seramai 14 kakitangan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) hari ini menerima Anugerah Khidmat Cemerlang (AKC) 2015 dalam satu majlis yang diadakan di Hotel Grand Campbell di sini, selepas menunjukkan kecemerlangan dalam melaksanakan tugasan mereka sepanjang tahun lepas.

Anugerah itu telah disampaikan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Hj. Baharom (B). Majlis itu diadakan serentak dengan majlis graduasi dua kumpulan Felo Muda Dakwah YADIM iaitu FMD siri 2 2015 seramai 23 orang dan FMD siri 3 2015 seramai 32 orang.

Dalam majlis itu, Yang Dipertua YADIM, Dr. Yusri Mohamad berkata, Anugerah Khidmat Cemerlang Yadim ini adalah satu inisiatif pihak pengurusan Yadim bagi menghargai kakitangan yang cemerlang. Kecemerlangan mereka telah dinilai secara keseluruhan berdasarkan beberapa kriteria yang ditetapkan.

“Namun begitu, tidaklah bermakna kakitangan yang tidak terpilih memenangi AKC ini tidak cemerlang. Pada hemat saya, ramai sekali kakitangan Yadim yang cemerlang, dan mereka juga diganjarkan dengan pelbagai insentif yang lain.

“Antara ganjaran lain yang diberikan pihak pengurusan Yadim termasuk hadiah warga contoh bulanan serta bonus tahunan berdasarkan prestasi masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, ganjaran-ganjaran yang disediakan itu adalah antara usaha pihak pengurusan bagi memastikan para pekerja sentiasa bermotivasi dan berusaha membaiki kualiti kerja masing-masing.

Jelasnya, ini kerana, dalam dunia hari ini, begitu banyak cabaran perlu dihadapi dan ini memerlukan sesebuah organisasi itu mempunyai kakitangan yang berkualiti dan sentiasa mempunyai dedikasi yang tinggi.

“Pada keseluruhannya, sepanjang tahun lepas, kakitangan Yadim telah menunjukkan prestasi yang sangat cemerlang dan berjaya melaksanakan begitu banyak program dakwah. Ini termasuk program yang berkaitan akidah, kekeluargaan, muamalah, kebajikan dan kepimpinan muda,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan Yadim ini sebenarnya ditunjangi oleh kakitangan yang begitu berdedikasi dan cemerlang. Sehingga kini, Yadim sememangnya begitu dikenali sebagai sebuah organisasi yang cemerlang dalam melaksanakan pelbagai program sama ada berskala kecil, sederhana atau besar.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *