Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, inisiatif MSWP itu bertujuan mempercepatkan penyelesaian kes yang sedang dibicarakan dan mengurangkan kes tertunggak yang semakin bertambah dari semasa ke semasa.

“Melalui program ini, saya ya­kin ia boleh memberikan anjakan kepada pembaharuan sistem pengu­rusan di Mahkamah Syariah serta boleh mengubah persepsi orang ramai apabila membicarakan soal penceraian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis Penyampaian Sijil Amalan Peguam Syarie 2015 dan perasmian Program Siket, Key Focus Activity (KFA) Sulh dan kaunter ‘Do It Yourself (D.I.Y)’ di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Hakim Syarie Wilayah Persekutuan, Datuk Mohammad Ibrahim dan Pre­siden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang.

Dalam majlis sama, seramai 103 peguam syarie menerima pentauliahan sebagai Peguam Syarie Wilayah Persekutuan.

Jamil Khir berkata, sasaran utama program Siket ini adalah menyelesaikan 100 peratus kes tertunggak MSWP dalam tempoh tiga tahun selain kes yang baharu didaftarkan dalam tempoh 10 bulan.

“Sehingga 30 April lalu, MSWP berjaya menyelesaikan 42 peratus yang mewakili 1,446 kes tertunggak dalam tempoh dua bulan pelaksanaan program,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau menjelaskan program ‘Key Focus Activity’ (KFA) Sulh yang merupakan satu daripada strategi di bawah SiKeT bertujuan mempercepatkan prosedur kerja Sulh bermula daripada pendaftaran sehingga perintah bersih dikeluarkan.

“Melalui program KFA Sulh ini, tempoh pengeluaran Perintah Perjanjian penyelesaian telah berjaya dikurangkan daripada tempoh 14 hari kepada hanya sejam dan sejak dilancarkan 1 Mac lalu, sebanyak 147 kes Perintah Bersih berjaya dikeluarkan dalam tempoh sejam selepas kelulusan diberi,” katanya.

Tegasnya Jamil Khir, kaun­ter D.I.Y pula adalah inisiatif bagi memudahkan urusan pelanggan dalam penyediaan penyata tuntutan kes, selain meri­ngankan beban mereka yang tidak berkemam­puan untuk mendapatkan khidmat penulis petisyen.

Sementara itu, Musa berkata, PGSM menyambut baik langkah yang dilaksanakan oleh MSWP dalam usaha mempercepatkan penyelesaian kes yang ada ketikanya mengambil tempoh terlalu lama untuk diselesaikan.- UTUSAN