Home » Langit Terbuka » Kalimah Allah: Moga penegasan DBP jadi penguat hujah di Mahkamah Rayuan

Kalimah Allah: Moga penegasan DBP jadi penguat hujah di Mahkamah Rayuan

Hantaran DBP di Facebook menjelaskan tentang maksud kalimah Allah dan Tuhan. - Foto DBP

BANGI  – Penegasan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam polemik terjemahan ‘God’ ke dalam Bahasa Melayu perlu dihargai, kata Presiden Pertubuhan-Pertubuhan Pembela (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya.

Perkara itu sekali gus menafikan hujah pihak misionari Kristian yang bersungguh-sungguh mahu menggunakan kalimah Allah dalam kitab Bible serta bahan dakyah mereka, katanya.

“Alhamdulillah, jutaan terima kasih dan tahniah diucapkan kepada pihak DBP atas tindakan yang tuntas ini.

“Semoga ini menjadi penguat hujah di mahkamah dalam peringkat rayuan bagi kes ini dalam agenda kita membela agama ini. InsyaAllah,” katanya dalam satu kenyataan.

DBP dalam satu hantaran di Facebook semalam menjelaskan bahawa perkataan God bermaksud tuhan, manakala istilah yang digunakan dalam Islam adalah Allah.

Selain itu, kalimah Allah mengikut Kamus Dewan Perdana 2020 pula mempunyai dua takrifan iaitu Tuhan yang maha esa dan pencipta seluruh alam, yang mempunyai sifat yang sempurna.

Takrifan kedua adalah nama Tuhan yang paling unggul, yang maknanya meliputi pengertian kesemua 99 nama-Nya.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan berkata, istilah ‘Allah’ ialah kata yang merujuk kepada makna ‘Tuhan yang esa dan pencipta seluruh alam, yang mempunyai segala sifat yang sempurna’.

Manakala, kata ‘Tuhan’ dengan huruf besar diberi takrif yang sama dengan istilah ‘Allah’, iaitu sebagai sinonim atau kata seerti dengan kata ‘Allah’.

Bagi agama selain Islam, istilah ‘tuhan’ digunakan sebagai nama am, iaitu ditulis dengan huruf kecil untuk membezakan konsep ketuhanan dalam agama Islam dengan konsep ketuhanan dalam agama-agama lain. – Ismaweb

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *