Home » Langit Terbuka » Kapal misi kemanusiaan dijangka masuk perairan Gaza

Kapal misi kemanusiaan dijangka masuk perairan Gaza

KUALA LUMPUR 5 Okt. : Wakil tunggal Malaysia dan Asia, Dr Fauziah Mohd Hasan bersama 12 aktivis kemanusiaan lain yang menaiki kapal Zaytouna dijangka memasuki perairan Gaza, Palestin menjelang Subuh esok (waktu tempatan) iaitu kira-kira jam 11 pagi waktu Malaysia.

Dr Fauziah yang juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) dan Penasihat Rose2Rose dalam Misi Bot Wanita Ke Gaza (WBG) mempunyai matlamat iaitu memecah kepungan Israel ke atas Palestin.

Misi ini juga bagi memastikan nasib rakyat negara itu terus mendapat perhatian dan pembelaan dunia sekali gus dapat mengembalikan hak penduduk Gaza antaranya bagi mendapatkan bekalan makanan, ubat dan keperluan asas untuk menyelamatkan nyawa.

Dalam satu kenyataan sebentar tadi, Pengerusi MyCARE, Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor, memaklumkan Dr Fauziah bersama anak kapal lain sudah bersiap sedia untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan sekiranya dihalang tentera Israel.

Justeru, Dr Hafidzi mengajak semua rakyat Malaysia menganjurkan solat hajat perdana selain berdoa semoga Dr Fauziah dan misi ini diberikan keselamatan serta kemudahan oleh Allah.

“Bagi rakan agama lain, anda diminta untuk turut berdoa mengikut amalan dan cara masing-masing.

“Ayuh bersama-sama bersatu hati demi keamanan dan kemanusiaan sejagat. Lakukan tanggungjawab kita selaku insan yang prihatin.

“Semoga Allah merahmati usaha kita bersama!, terima kasih,” katanya. Dr Fauziah dalam mesejnya menerusi Dr Hafidzi berkata, anak kapal Zaytouna membawa mesej aman tanpa ada provokasi dan konfrontasi.

Dr Fauziah menegaskan, beliau mahu menyampaikan mesej berupa cinta, keamanan dan kemanusiaan. Prinsipnya adalah menolak keganasan.

“Krew dan anak kapal kesemuanya wanita terlatih dengan pendekatan aman dan ia tidak bermaksud lemah. Bahkan aman adalah pilihan strategik. “Tentera yang asyik dengan kezaliman akan kekok dan buntu berdepan dengan keamanan,” tegasnya.

 

https://www.bharian.com.my

Artikel Berkaitan

‘Tahniah Dr Sirajuddin’ – Anwar

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Dr

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *