Home » Langit Terbuka » KDN Tubuh Jawatankuasa Khas Kaji Undang-Undang Berkaitan Keselamatan Negara

KDN Tubuh Jawatankuasa Khas Kaji Undang-Undang Berkaitan Keselamatan Negara

Muhyiddin Yassin (tengah) bersalaman dengan orang ramai ketik hadir Majlis Berbuka Puasa bersama Penduduk Setempat di Masjid Saidina Hamzah Sentul, malam tadi.

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk mengkaji undang-undang sedia ada terutamanya berkaitan keselamatan negara yang didakwa bertentangan dengan hak asasi manusia, kata Menterinya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata, jawatankuasa yang ditubuhkan pada minggu lepas itu dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim.

“Kita akan melihat dan meneliti semula undang-undang di bawah KDN antara yang dibangkitkan ialah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) dan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

“Tujuan kita ialah untuk menentukan dalam melaksanakan undang-undang dalam negara supaya rakyat tidak terasa ini dibuat untuk tujuan politik, untuk hukum pihak-pihak tertentu disebabkan perbezaan fahaman dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika hadir Majlis Berbuka Puasa Bersama Penduduk Setempat di Masjid Saidina Hamzah, Kampung Batu Muda, di sini hari ini.

Majlis anjuran Syarikat Kumpulan Ramly (Ramly Group) dan masjid berkenaan turut menyaksikan seramai 250 anak yatim dan fakir miskin menerima sumbangan wang tunai.

Muhyiddin berkata langkah mengkaji undang-undang berkenaan adalah satu daripada perkara berkaitan isu keselamatan yang terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) untuk diberi perhatian oleh KDN.

“Ini termasuk dalam janji PH iaitu mana-mana undang-undang yang dianggap ada elemen kezaliman, penindasan, ketidakadilan dan yang mungkin dianggap bertentangan dengan hak asasi manusia serta undang-undang yang tidak berapa jelas pelaksanaannya akan kita kaji secara mendalam.

“Perkara ini mungkin akan mengambil masa, bila siap nanti kita akan adakan sesi pertemuan dengan mereka yang kita fikir berkepentingan menjelaskan sama ada pindaan itu dianggap memadai atau sesuai sebelum dibawa ke jemaah Menteri dan seterusnya ke Parlimen,” katanya.

Pada 22 Mei lepas, Muhyiddin dilaporkan berkata KDN akan mengkaji semula tujuh undang-undang berkaitan keselamatan negara yang didapati tidak lagi sesuai dalam landskap hari ini.

Undang-undang berkenaan ialah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Hasutan 1948, hukuman gantung sampai mati, Akta Perhimpunan Aman 2012, POCA, SOSMA dan POTA. – BERNAMA

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *