Home » Langit Terbuka » Kebebasan berkarya perlu berpaksi nilai, budaya – Habsah Hassan

Kebebasan berkarya perlu berpaksi nilai, budaya – Habsah Hassan

KUALA LUMPUR: Kebebasan berkarya tidak seharusnya ditafsirkan sebagai ruang tanpa sempadan, sebaliknya perlu diseimbangkan dengan pertimbangan terhadap nilai agama, budaya dan sensitiviti masyarakat, kata Presiden Persatuan Tinta Karya (Tinta Karya), Datuk Habsah Hassan.

Berpengalaman hampir lima dekad dalam industri kreatif, Habsah berpandangan penggiat seni termasuk penerbit, penulis skrip dan pengarah perlu lebih bijaksana dalam mengolah isu sensitif supaya keberanian berekspresi tidak akhirnya mengundang kesan bertentangan dengan mesej yang ingin disampaikan.

Beliau berkata, prinsip di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung wajar menjadi panduan ketika menghasilkan karya untuk tatapan masyarakat tempatan.

Habsah mengulas kontroversi drama Madu atau Racun arahan Eyra Rahman yang mencetuskan perdebatan susulan paparan adegan intim hubungan sejenis membabitkan watak lakonan Elysha Sandha dan Uqasha Senrose.

“Saya faham sebagai orang seni, kebebasan itu amat diperlukan. Bagaimanapun, keberanian perlulah bertempat dan ditangani secara bijaksana.

“Kita kena terima bahawa kita bercakap mengenai penonton kita, orang Malaysia yang umumnya orang Melayu.

“Drama itu dalam bahasa Melayu dan pastinya sasaran mereka juga orang Melayu. Jadi, kalau orang Melayu, umumnya beragama Islam, kita tahu bagaimana resam, adat dan budayanya,” katanya kepada BH Online.

Habsah berkata, kepelbagaian latar budaya dan nilai kehidupan masyarakat Malaysia perlu diambil kira kerana sesuatu perkara yang dianggap biasa dalam sesetengah masyarakat luar mungkin dilihat berbeza atau bertentangan dengan norma tempatan.

Menurutnya, realiti kehidupan masyarakat sememangnya boleh diketengahkan dalam karya, namun penggiat seni mempunyai ruang kreatif untuk menyampaikannya melalui pendekatan yang lebih tersirat.

Habsah tidak menafikan isu yang dipaparkan dalam sesebuah karya mungkin mempunyai asas realiti dalam masyarakat, namun berpendapat ia tidak semestinya perlu diterjemahkan secara terlalu langsung untuk tontonan umum.

“Kita tidak nafikan dalam kehidupan harian kejadian itu mungkin berlaku dalam masyarakat kita atau bangsa lain.

“Tetapi apabila diterjemahkan dalam bentuk visual untuk tayangan umum, orang tua, muda, orang pandai, orang tidak pandai, budak kecil dan remaja semua menonton. Jadi kita sebagai orang seni kenalah gunakan kreativiti secara bijaksana,” katanya.

Pengalaman hampir 50 tahun dalam bidang drama, katanya, membuktikan penggunaan metafora mampu menyampaikan sesuatu mesej dengan berkesan tanpa memerlukan gambaran yang terlalu eksplisit.

“Selama ini, kita banyak gunakan metafora, tetapi penonton masih faham apa yang ingin disampaikan dan tidak menjadi isu pun.

“Mungkin itu cara mereka menjadikan babak berkenaan sebagai daya tarikan untuk penonton. Kalau kesannya positif, alhamdulillah, tetapi apa yang kita nampak adalah kesan negatif,” katanya.

Habsah berkata, ketika beliau aktif menghasilkan karya untuk siaran televisyen, khususnya Radio Televisyen Malaysia (RTM), garis panduan kandungan yang perlu dipatuhi penggiat seni lebih ketat.

Katanya, antara perkara yang ketika itu dielakkan termasuk kisah poligami, penyondol serta isu bersekedudukan antara menantu dan ibu mentua yang dianggap terlalu sensitif untuk diketengahkan secara terbuka.

Bagaimanapun, perkembangan teknologi dan kewujudan pelbagai platform penstriman menyaksikan kandungan hiburan kini berada dalam ruang yang jauh lebih terbuka, sekali gus menuntut penggiat seni memainkan peranan lebih besar dalam menentukan batas sendiri.

“Mungkin kerana kita sudah banyak menonton filem atau drama luar yang tidak ada batas dan kebebasannya melampau, timbul rasa teruja untuk mencuba sesuatu yang lain.

“Dengan kewujudan pelbagai platform penstriman yang tapisan kandungannya berbeza, di situlah kita harus tahu mengendalikan batas kita,” katanya.

Mengulas alasan sesetengah produksi bahawa babak kontroversi sengaja ditampilkan untuk menyampaikan pengajaran, Habsah berkata, niat menghasilkan mesej positif tidak semestinya menghalalkan penggunaan visual yang dianggap keterlaluan.

“Memang semua cerita ada pengajaran. Tetapi untuk sampai kepada puncak pengajaran itu, berapa banyak kesilapan yang kita lakukan?

“Nak mengajar yang baik tidak semudah mengajar benda yang buruk. Apatah lagi apabila benda itu divisualkan. Bukan saja nampak, tetapi kita dengar,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan keputusan sesetengah penerbit menggunakan babak kontroversi sebagai bahan promosi di media sosial walaupun mendakwa ia mempunyai mesej tertentu.

“Kalau nak mengajar, kenapa tidak keluarkan benda yang mengajar? Kenapa sedutan yang dikeluarkan adalah babak yang mencabar penonton?

“Ini bukan soal tidak terbuka. Ini soal menghormati dan mengenali batas kita sendiri,” katanya.

Habsah berkata, cabaran kawalan kandungan kini menjadi lebih kompleks apabila sesuatu sedutan yang asalnya diterbitkan untuk tujuan promosi boleh dirakam semula, dikongsi dan disebarkan pengguna ke pelbagai platform.

Menurutnya, keadaan itu berbeza dengan era terdahulu apabila kandungan televisyen dan radio lebih mudah dipantau kerana berada dalam struktur penyiaran yang lebih terkawal.

“Sekarang dengan platform penstriman dan media sosial yang terbuka luas, benda yang sama boleh disalurkan ke tempat lain.

“Produser mungkin cuma keluarkan satu sedutan, tetapi orang lain boleh ambil dan sebarkan pula ke platform lain. Kemudian benda negatif itu akan dikongsikan berkali-kali,” katanya.

Mengenai keperluan pihak berkuasa termasuk Lembaga Penapisan Filem (LPF) memperketat kawalan kandungan, Habsah memahami kecenderungan kerajaan memberi ruang lebih luas kepada penggiat seni untuk berkarya.

Namun, katanya, kelonggaran itu perlu disambut dengan rasa tanggungjawab dan kematangan dalam kalangan penggiat industri kreatif.

“Saya faham mungkin kerajaan sudah mula melihat kita tidak boleh lagi macam dulu. Mungkin kerajaan mengharapkan rakyat dan orang seni kita faham.

“Walaupun tidak ditulis secara hitam putih apa yang boleh dan tidak boleh, kita sendiri perlu faham apa yang boleh dan apa yang tidak sepatutnya.

“Kalau perkara ini berterusan, saya rasa lama-kelamaan akan ada tindakan diambil untuk mengawal. Kalau tidak, perkara begini akan terus berlaku,” katanya.

Pada masa sama, Habsah menegaskan tegurannya bukan bertujuan mengekang keberanian atau kreativiti penggiat seni, sebaliknya mahu kebebasan yang diberikan dimanfaatkan dengan lebih bertanggungjawab.

“Penulisnya bagus, pengarahnya juga bagus dan penerbitnya kita kenal bagus. Jadi kebagusan itu harus digunakan dengan bijaksana.

“Saya bukan tidak faham perlunya kebebasan berkarya. Itu sangat penting, tetapi kita harus jaga dan tahu di mana kebebasan itu harus berhenti.

“Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Orang seni juga harus tahu, tidak perlu siapa-siapa beritahu apa yang boleh dan tidak boleh,” katanya.

https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2026/09/1625604/kebebasan-berkarya-perlu-berpaksi-nilai-budaya-habsah-hassan

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *