BANDAR MUADZAM SHAH – Meneruskan program mendekati mahasiswa, YADIM menerusi Bahagian Kepimpinan Muda telah menganjurkan Program Menghayati Kisah Rasulullah dan Kenegaraan Malaysia pada 1 dan 5 September.
Politeknik Muadzam Shah, Bandar Muadzam Shah dan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Bahasa Antarabangsa, Kuala Lumpur menjadi lokasi penganjuran program yang dikendalikan oleh Rakan Siswa YADIM di kedua institusi berkenaan.
Di Politeknik Muadzam Shah, pengisian program disampaikan oleh Ahli Zamalah YADIM Negeri Pahang, Ustaz Haji Mazlan Mohamed Yasin, manakala di IPG Kampus Bahasa Antarabangsa oleh Daie Muda YADIM Cik Nurul Syuhada Mohd Kamil. Para peserta didedahkan dengan kisah kehidupan dan perjuangan Rasulullah SAW, selain pengajaran yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian.
Antara nilai yang diketengahkan termasuklah kepimpinan, kesabaran, kasih sayang, perpaduan dan tanggungjawab. Penghayatan terhadap sirah Rasulullah SAW diharap dapat membentuk generasi muda yang bukan sahaja mempunyai ilmu, malah berakhlak mulia serta mempunyai jati diri yang kukuh.
Selain pengisian berbentuk kerohanian dan kenegaraan, aktiviti sukan turut diadakan di IPG Kampus Bahasa Antarabangsa, melibatkan pertandingan bola jaring, bola sepak dan bola tampar.
Penganjuran aktiviti tersebut turut memperlihatkan bahawa penghayatan terhadap ajaran Rasulullah SAW bukan sahaja dapat diterapkan melalui sesi ceramah dan perkongsian ilmu, malah boleh dizahirkan melalui amalan bekerjasama, menghormati antara satu sama lain dan mengukuhkan semangat persaudaraan.
Program ini diharap dapat memberikan manfaat kepada para peserta dalam membentuk keperibadian yang unggul, di samping menyemai kecintaan terhadap Rasulullah SAW dan negara Malaysia.



KOMEN