Home » Langit Terbuka » Kecemerlangan akademik bukan jaminan akhlak, nilai murni

Kecemerlangan akademik bukan jaminan akhlak, nilai murni

ALOR SETAR 16 Mei – Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mua’dzam Shah, mengingatkan pelajar dan ibu bapa bahawa kecemerlangan akademik semata-mata tidak menjamin seseorang itu melayari hidup dengan baik sekiranya tidak dipacu akhlak dan nilai murni dalam diri.

Justeru, titah baginda ibu bapa harus memainkan peranan melaksanakan tanggungjawab mendidik, mengasuh, serta membimbing anak mereka untuk menjadi pewaris kepada generasi cemerlang ilmu dan akhlak.

“Sebagai contoh sekiranya seseorang itu mendapat pekerjaan baik tetapi tidak jujur dan amanah, dia mungkin akan menipu, terbabit dengan rasuah dan seterusnya terjebak dalam pelbagai jenayah.

“Ibu bapa harus menjadi model contoh yang cemerlang kepada anak-anak dalam segenap segi, manakala guru pula perlu melakukan anjakan paradigma dan melaksanakan pendekatan pembelajaran dan pengajaran dalam abad ke-21,” titah baginda.

Teks titah baginda dibacakan Tengku Temenggung, Tan Sri Tunku Puteri Intan Shafinaz Tuanku Abdul Halim, sempena Hari Anugerah Cemerlang Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Keat Hwa di Jalan Kuala Kedah, di sini, hari ini. Yang turut hadir ialah Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Azuyah Hassan.

Sultan Kedah bertitah peranan pendidikan kini berubah dengan jelas daripada fungsi tradisionalnya, menyebabkan pelajar bukan sahaja datang ke sekolah untuk belajar tetapi dididik sebagai pewaris negara agar menjadi modal insan yang berilmu serta mempunyai jati diri yang ampuh.

Titah baginda, usaha menjadikan pelajar sebagai peneroka ilmu dan bukan sekadar pengikut amat penting bagi mempersiapkan generasi pelajar dengan keperluan semasa.

“Kecemerlangan akademik dan akhlak pelajar seharusnya dicapai secara bersepadu kerana akhlak yang baik secara langsung akan membentuk suasana yang kondusif untuk pelajar mencapai kejayaan.

“Oleh itu, semua pihak perlu mengorak langkah proaktif bagi menerapkan keilmuan dan penguasaan sesuatu kemahiran untuk mendepani realiti baharu dunia yang pantas berubah dan berkembang,” titah baginda.- https://www.bharian.com.my

Artikel Berkaitan

Malaysia negara pertama terima visa haji

KUALA LUMPUR: Malaysia menjadi negara pertama yang menerima pengeluaran visa haji daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi jemaah musim haji

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *