Home » Langit Terbuka » Kelantan lulus hukuman sebat

Kelantan lulus hukuman sebat

KOTA BHARU 12 Julai – Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017) yang membolehkan hukuman sebat terhadap pesalah dijalankan di tempat terbuka.

Perkara penting lain yang turut terkan­dung dalam pindaan enakmen tersebut ialah membenarkan video digunakan sebagai bahan bukti dalam perbicaraan.

Enakmen itu merupakan sebahagian da­ri­pada persiapan Kerajaan Pas Kelantan untuk melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993 (2015) sekiranya Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) diluluskan di Dewan Rakyat kelak.

Pindaan itu dicadangkan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud.

Kelulusan terhadap pindaan terbabit diumumkan Speaker DUN Kelantan, Datuk Abdullah Ya’kub selepas disokong sebulat suara oleh ahli dewan yang hadir termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN).

Mohd. Nassuruddin ketika membentangkan usul itu berkata, beberapa faktor utama telah diambil kira bagi melakukan pindaan termasuk enakmen tersebut yang sudah berusia 15 tahun dan keadaan semasa dunia yang berkembang pesat.

“Pindaan ini perlu dilakukan bagi membantu hakim syarie, pendakwa syarie, peguam syariah serta penguat kuasa agama menjalankan prosedur kes jenayah syariah dengan lebih teratur dan seragam.

“Antara pindaan yang akan diguna pakai adalah bagi membolehkan seseorang yang dihukum bersalah disebat di khalayak, penguat kuasa agama boleh menggunakan gari dan video boleh dijadikan bahan bukti dalam perbicaraan,” katanya.

Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 merupakan bahagian teknikal kepada pelaksanaan hukuman yang terkan­dung dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (2015) yang mana
kesalahan-kesalahan melibatkan hukuman sebat di bawah enakmen tersebut ialah zina, liwat, qazaf (me­nuduh zina atau liwat) dan minum arak.

Selain memboleh­kan hukuman sebat di tempat terbuka yang diwartakan oleh kerajaan negeri, pindaan enakmen itu juga membabitkan pindaan kepada 33 fasal lain.

Bagaimanapun, kesemua pindaan itu masih terikat dengan pelaksanaan dan kelulusan pindaan RUU Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) yang kini masih belum selesai di Dewan Rakyat.

Sementara itu, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah ketika ditemui di luar dewan memberitahu, terdapat 33 fasal yang dipinda dalam enakmen itu bagi memperkemaskan hukuman sedia ada serta beberapa proses teknikal lain.

“Contohnya seperti hukum sebat yang kini boleh dilaksanakan di dalam atau di luar penjara, bergantung kepada keputusan mahkamah.

“Perkara ini bertepatan dengan kehendak agama sebab hukuman syariah itu mestilah dibuat di hadapan khalayak ramai,” katanya.- www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

Tingkat kualiti pendakwaan syarie

SHAH ALAM – Penubuhan Jabatan Pendakwaan Syarie Malaysia (JPSM) berupaya meningkatkan kualiti pendakwaan dan menyeragamkan proses penggubalan undang-undang syariah di negara ini.

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *