Home » Langit Terbuka » Keluarga baik lahirkan generasi berakhlak, sahsiah cemerlang – TPM

Keluarga baik lahirkan generasi berakhlak, sahsiah cemerlang – TPM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyampaikan Anugerah Ibu Mithali kepada Hitam Abu (duduk) pada Malam Anugerah Keluarga Mithali 2017 anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) malam tadi. Turut sama Yang Dipertua YADIM Dr Yusri Mohamad (kanan) dan Pengerusi Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal (tiga, kanan).foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 26 Feb – Pembentukan keluarga yang baik mampu melahirkan generasi muda cemerlang dalam pelbagai aspek terutamanya akhlak dan sahsiah, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata peranan ibu dan bapa dalam membentuk keluarga adalah sangat penting selain amalan hidup berkeluarga berasaskan agama.

“Kepentingan amalan agama yang utuh dalam pembinaan institusi keluarga tidak hanya terdapat dalam agama Islam sahaja.

“Agama lain juga menitikberatkan aspek sama. Ini amat jelas dalam Indeks Kesejahteraan Keluarga Malaysia 2016 apabila responden yang terdiri daripada pelbagai agama, bersetuju mengenai peranan agama dalam kesejahteraan hidup,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian pada majlis Anugerah Keluarga Mithali 2017 di sini malam ini. Teks ucapan beliau dibacakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, yang mewakili beliau pada majlis tersebut.

Ahmad Zahid berkata usaha perlu dibuat dengan serius oleh ibu bapa dan keluarga untuk memastikan anak dan anggota keluarga sentiasa dalam pemerhatian untuk berkomunikasi, mengambil tahu, menyokong, mempunyai empati dan saling membantu.

Institusi kejiranan juga perlu diperkasa dan dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya di sebalik kesibukan, tembok tinggi perumahan dan kepelbagaian sikap serta budaya, katanya.

Beliau berkata masyarakat kini perlu kembali kepada amalan sihat untuk saling mengambil tahu dan membantu dalam menangani pelbagai isu sosial.

Pada majlis itu, keluarga seorang pesara Jabatan Kerja Raya dari Kuala Terengganu, Razali Awang, 73 yang mempunyai 13 anak diumumkan sebagai penerima Anugerah Keluarga Mithali 2017.

Kegigihan Razali dan isterinya, Esah Abdullah menyekolahkan anak mereka dengan menjual kuih untuk menambah pendapatan mendorong kesemua anak mereka berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara.

Anak pasangan tersebut kini berjaya menjadi jurutera, guru, pensyarah dan pegawai korporat.

Keluarga tersebut membawa pulang wang tunai RM50,000, trofi serta sijil yang disampaikan Jamil Khir.– BERNAMA

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *