Home » Langit Terbuka » Kementerian Pendidikan beri kerjasama jayakan penubuhan Universiti Johor

Kementerian Pendidikan beri kerjasama jayakan penubuhan Universiti Johor

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan akan memberi kerjasama bagi melicinkan proses dan merealisasikan penubuhan Universiti Johor kata Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Mengalu-alukan inisiatif murni dalam mereliasasikan penubuhan universiti yang diharap menjadi sebuah pusat pengajian tinggi terkemuka negara, Maszlee berkata beliau berpeluang menghadiri sesi perbincangan mengenainya baru-baru ini.

“Kementerian Pendidikan telah terlibat secara langsung dalam menyumbang tenaga pakar kepada Jawatankuasa Sekretariat dan Jawatankuasa Pemandu penubuhan Universiti Johor,” katanya kepada Bernama.

Berdasarkan kepada hasil perbincangan, Maszlee yang juga Anggota Parlimen Simpang Renggam, yakin graduan yang bakal dilahirkan oleh Universiti Johor bukan sahaja akan mempunyai kompetensi tinggi dari segi pengetahuan dan kemampuan dalam bidang akademik dan kemahiran, mereka juga akan dilengkapi nilai-nilai murni bagi pembentukan sahsiah dan keperibadian unggul.

Pada 16 Ogos lalu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Johor Aminolhuda Hassan memberitahu Dewan Undangan Negeri bahawa Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar telah memperkenan penubuhan Universiti Johor, Jun lepas.

Aminolhuda berkata beberapa jawatankuasa panel penasihat dan sekretariat diwujudkan sejak awal Jun lepas bagi membolehkan kajian dan gerak kerja penubuhan universiti itu.

Kertas asas perancangan Universiti Johor telahpun dibentangkan kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri Johor, Kementerian Pendidikan, Jabatan Pendidikan Tinggi serta wakil Menteri Pendidikan pada 6 Ogos lepas.

Konsep Universiti Johor adalah berdasarkan persekutuan dan gabungan bagi memenuhi tuntutan pembangunan pesat, tumpuan di daerah dan mengelakkan aliran keluar belia dari daerah.

Universiti Johor akan memperkenalkan konsep ‘Quadruple Helix’ iaitu setiap graduan dilahirkan menerusi pendidikan berasaskan kompetensi bagi memastikan mereka memenuhi kehendak industri, kerajaan dan komuniti. – Bernama

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *