Home » Langit Terbuka » ‘Kempen #UndiRosak bertentangan prinsip demokrasi’

‘Kempen #UndiRosak bertentangan prinsip demokrasi’

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd Hashim Abdullah.

KUALA LUMPUR 26 Jan. – Kempen #UndiRosak yang sedang digerakkan pihak tertentu di media sosial adalah tindakan tidak bertanggungjawab dan bertentangan dengan prinsip demokrasi.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, berkata kempen itu yang merosakkan pemikiran rakyat, selain menafikan hak pengundi untuk memilih kerajaan secara demokrasi.

Katanya, pilihan raya adalah saluran rakyat memilih pemimpin dan kerajaan bagi mentadbir sebuah negeri dan negara.

“Pilihan Raya Umum (PRU) lima tahun sekali. Rakyat sudah buat persiapan dan menilai secara keseluruhan kepimpinan dan semua parti politik. Tiba-tiba keluar istilah kempen undi rosak, yang hadir bukan dari orang kebanyakan, tapi diketuai orang tertentu yang kita hormati.

“Kita negara demokrasi yang berasaskan pilihan raya. Tapi kalau mereka galak rakyat mengundi, tapi rosakkan undi ini bertentangan dengan hasrat menegakkan demokrasi.

“Mereka yang menyuarakan dengan lantang supaya demokrasi ditegakkan tapi sekarang mereka melakukan kerja yang langsung tidak demokrasi,” katanya ditemui media, di Sri Pentas di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan sekumpulan individu di media sosial yang melancarkan kempen #UndiRosak bagi membantah pemilihan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri pembangkang.

Dalam pada itu, Mohd Hashim berkata, SPR akan mengeluarkan arahan untuk mewajibkan semua ejen parti berada dalam pusat membuang undi sepanjang hari pengundian.

Katanya, pihaknya kecewa masih ada parti yang sambil lewa untuk tidak memastikan setiap wakil atau ejen partinya berada di pusat membuang undi bermula pada jam 8 pagi hingga 5 petang.

“Kita mahu semua parti politik yang bertanding diminta menghantar ejen dia pada setiap saluran, iaitu mereka bertanding. Ada parti besar yang popular dan besar pun ada yang tidak hantar.

“UMNO dan PAS kena hantar orang (ejen) penuh, bermula dari jam 8 sampai 5 petang. Kalau tidak lepas ini saya akan senaraikan (parti mana yang tidak hantar ejen), tidak mustahil saya akan pamerkan supaya semua pihak boleh lihat parti mana yang tidak hantar pemerhati mereka,” katanya.

Menyentuh cadangan pembangkang supaya kertas undi pos dan undi awal tidak diletakkan di balai polis, beliau berkata pada masa ini lokasi itu adalah yang paling selamat kerana ia dikawal sepanjang masa.

“Selepas ini kalau ada wakil parti yang mahu jaga sepenuh masa peti undi pos dan undi awal di lokap mana-mana balai polis, kita memang alu-alukan.

“Mereka juga mesti tertakluk kepada peraturan di lokap. Kalau perlu tidur di lantai, pakai baju lokap..maka kena pakailah,” katanya.

Menyentuh persempadanan kawasan PRU, beliau menjelaskan ia terpulang kepada kerajaan untuk membawanya pada bila-bila masa ke Dewan Rakyat untuk kelulusan.

“Setakat ini, kita belum siap lagi, sebab ada bantahan dan masih tergantung di Selangor. Di Malaysia ini, ada tiga (kawasan persempadanan) iaitu Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

“Satu negeri di Semenanjung tidak bersetuju (dengan persempadanan), maka semua cadangan persempadanan (di Semenanjung) tidak boleh di bawa ke Parlimen. – BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *