Home » Langit Terbuka » Jimat tuai hujan

Jimat tuai hujan

Projek perintis SPAH bakal dilaksanakan di di Masjid Al Mutaqqin, Wangsa Melawati menerusi projek komuniti Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kampus Kuala Lumpur diketuai Ketua Projek Dr Aznah Nor Anuar.

KUALA LUMPUR 26 Jan. – Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH) dilihat antara idea proaktif yang boleh diperluaskan bagi membantu menjimatkan penggunaan air terawat terutama di lokasi tumpuan masyarakat seperti masjid dan rumah ibadah lain.

Ini kerana SPAH mampu meningkatkan kelestarian sumber air dan pada masa sama memberi alternatif dalam membantu mengurangkan penggunaan air bersih untuk tujuan pembersihan dan sebagainya.

Di Lembah Klang, projek perintis SPAH bakal dilaksanakan di di Masjid Al Mutaqqin, Wangsa Melawati.

Ia dilaksanakan menerusi projek komuniti Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kampus Kuala Lumpur diketuai Ketua Projek Dr Aznah Nor Anuar.

Menurut Aznah, pemasangan SPAH sebenarnya boleh dikomersialkan untuk dipasang di pelbagai premis termasuk rumah kediaman dan masjid.

“Di masjid contohnya, kegunaan bekalan air terawat bagi kerja pembersihan umum dan kegunaan tandas dapat dijimatkan jika menggunakan air hujan dari yang disalirkan dari tangki SPAH.

“Pemasangan sistem yang sistematik dijangka mampu memberi penjimatan sehingga 75 peratus permintaan terhadap air terawat, secara tidak langsung menjimatkan kos rawatan air bersih untuk tempoh jangka panjang,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran projek komuniti SPAH Masjid Al-Muttaqin di Wangsa Melawati.

Majlis dirasmikan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Hamdan Ali dan hadir sama Pro Naib Canselor UTM Kampus Kuala Lumpur Profesor Dr Shamsul Sahibudin.

Dalam pada itu, Aznah berkata, projek perintis terbabit akan mengambil tempoh enam bulan untuk siap dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada Jun depan.

Kata Aznah, projek itu juga dapat membantu mengurangkan gas rumah hijau dan medium terbaik sebagai persiapan menghadapi masalah bekalan air awam.

Katanya, secara umum, SPAH mengandungi enam komponen utama iaitu palong, paip penyampaian, tangki air hujan, paip bekalan, pam air dan punca akhir air sama ada tandas atau sinki.

“Untuk palong, rekaannya juga agak berbeza dan dipasang di atas bumbung dengan kecerunan bagi memastikan air hujan mengalir dengan lancar melalui paip penyampaian ke tangki.

“Kami akan menggunakan tangki yang besar iaitu kapasiti 100 meter padu daripada jenis hot dipped galvanised steel untuk menyalurkan air hujan ke pam.

“Dari pam berkenaan, air hujan berkenaan akan disalurkan ke tandas atau singki dan boleh digunakan orang ramai bagi kegunaan tujuan pembersihan,” katanya,

Sementara itu Aznah berkata, untuk sistem berkenaan di Masjid Al-Muttaqin, pihaknya memasang dua tangki simpanan air dengan kapasiti kira-kira 100 meter padu setiap satu.

Simpanan di dua tangki berkenaan mampu menyediakan bekalan mencukupi untuk kegunaan harian ketika berdepan masalah bekalan air.

Namun, kata Aznah, ia bergantung kepada keadaan cuaca dan juga kekerapan penggunaan.

Menurut Aznah lagi, projek itu direalisasikan menerusi bantuan dana RM60,000 daripada unit Strategi Lautan Biru Kebangsaan, (NBOS) Bahagian Perancangan, Penyelidikan dan Penyelarasan Dasar Kementerian Pendidikan Tinggi.

Tambah beliau, pemasangan SPAH di masjid terbabit dijangka mengambil masa enam bulan dan jika tiada aral akan beroperasi pada Jun depan.

“Apabila siap kelak, sistem berkenaan mampu membantu menjimatkan bil air bulanan sehingga 50 peratus,” katanya.

Sementara itu, Aznah berkata, sumber air SPAH itu juga sebenarnya boleh digunakan untuk kegunaan harian termasuk berwuduk tetapi ia perlu dirawat terlebih dulu.

“Maklumat lanjut mengenai projek berkenaan boleh hubungi Pengerusi Masjid Al-Muttaqin, Yahya Din, 0193377899 atau 0197785616,” katanya. – HARIAN METRO

Artikel Berkaitan

SEBATI Madani Pulau Ketam

Ia bermula dengan tazkirah Maghrib oleh Daie Muda YADIM (DMY), Khairun Najmi Fadzil pada 26 Februari dengan tajuk ‘Metodologi Dakwah Rasulullah SAW’

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *