Home » Kenyataan Media » Kenyataan Media Isu Penghantaran Pulang Dr. Zakir Naik

Kenyataan Media Isu Penghantaran Pulang Dr. Zakir Naik

Yang Dipertua YADIM, Yang Berusaha Ustaz Nik Omar Nik Ab Aziz

Prinsip menjamin keadilan adalah salah satu daripada teras Maqasid Syariah yang telah diberi penekanan sama ada secara langsung seperti yang dinukilkan oleh Allamah Ibn Asyur atau tidak langsung seperti Jasser Auda.

Jaminan keadilan bagi Islam adalah suatu teras yang wajib dipertahankan sungguhpun kepada bukan Islam. Ini kerana konsep Rahmat dalam Islam jauh melangkaui sempadan agama, bangsa dan negara.

Justeru atas sifat keadilan, hak asasi manusia dan integriti perundangan yang menjadi antara teras kepada konsep Rahmat dalam Islam, YADIM berpandangan pendirian YAB Perdana Menteri dalam isu Dr. Zakir Naik wajib dipertahankan oleh segenap lapisan masyarakat.

Tekanan yang berterusan diambil oleh pihak berkuasa ke atas Dr. Zakir Naik sejak 2017 adalah satu bentuk pencabulan terhadap hak asasi manusia yang amat dikesali, tambahan pula kesemua pertuduhan tersebut masih belum dibuktikan bahkan terdapat beberapa cubaan pertuduhan telahpun digugurkan oleh mahkamah.

Atas semangat hari raya Aidil Fitri, YADIM menyeru agar prinsip Natural Justice (Keadilan Asasi) diberikan kepada beliau yang telah menyatakan kesediaan untuk dibicarakan sekiranya diberi jaminan keselamatan dan keadilan.

YADIM meyakini maksim seseorang dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya adalah sesuatu yang wajar dihayati dan dipertahankan oleh semua pihak yang menjunjung tinggi konsep kedaulatan undang-undang dan kerahmatan sejagat.

Al Fadhil Ustaz Nik Omar Nik Ab Aziz
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)
8 Syawal 1440/12 Jun 2019

 

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *