Home » Uncategorized » Kepada Para Suami… Jom Romantik Seperti Rasulullah! Oleh Mulhim Khaleed

Kepada Para Suami… Jom Romantik Seperti Rasulullah! Oleh Mulhim Khaleed

 

Sebenarnya orang kita masih lagi terbelenggu dengan amalan kebanyakan masyarakat rumpun Melayu yang kadang-kadang malu tak bertempat dan tegas tak kena gaya. Hasilnya mereka tumpul budaya romantik dan kering dalam bercinta. Yang lebih ganjil lagi, ketika di luar ikatan perkahwinan, mereka bukan main romantik, tetapi bila sudah bernikah, mereka bersikap dingin.

Romantik dalam Islam dengan romantik ala Barat bezanya seperti langit dengan bumi. Romantik dalam Islam hanya kepada pasangan yang sudah berkahwin yang sudah mempunyai hubungan yang diiktiraf syarak. Tetapi romantik ala Barat, mereka bebas melakukan apa saja tanpa apa-apa batasan. Dalam Islam tidak wujud cinta monyet yang berlandaskan nafsu semata-mata.

Romantik wujud bila ada rasa cinta. Bila si suami menunjukkan cinta dalam bentuk kata-kata, sikap dan tingkah laku seharian, suasana romantik akan terbit dengan sendirinya. Maka berbungalah hati dan terawang-awanganlah jiwa si isteri melayari bahtera perkahwinan dalam cetusan suasana romantik yang disulami cinta dan kasih sayang si suami. Ini sepertimana firman Allah SWT yang maksudnya, “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari dirimu sendiri, supaya tenteramlah kamu kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa cinta dan sayang…” (Ar Rum:21)

Jangan salah faham. Kisah cintan cintun, asyik masyuk yang sering kita tonton dalam televisyen dan filem itu bukan romantik yang boleh dicontohi. Romantik jenis ini tidak berpijak dibumi yang nyata. Sebab itulah dipanggil lakonan semata. Romantik yang itu tidak sesuai dengan nilai agama dan tatasusila kita orang Melayu. Aksi ‘terlebih romantik’ yang boleh diklasifikasikan sebagai lucah dan 18SX seperti berpelukan, berkucupan, berdua-duaan di taman bunga dan sebagainya terlalu canggung bagi masyarakat Timur yang terkenal dengan adab dan budaya sopannya. Malah menyimpang jauh daripada ajaran agama Islam yang kita sayangi.

Daripada teringin dan teringatkan kisah romantik khayalan sebegini, lebih baik kita mencontohi dan menelusuri kisah romantik yang paling agung dalam Islam iaitu kisah hubungan kasih sayang antara Rasulullah SAW dengan isteri-isterinya. Kisah romantik Rasulullah bukan rekaan atau lakonan. Rasulullah adalah sebaik-baik contoh bagi umat manusia. Segala sifat Baginda cukup sempurna. Sehingga Allah SWT sendiri memuji Baginda di dalam surah al-Qalam ayat ke-4 yang bermaksud: “Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung.”

Rasulullah SAW adalah seorang panglima perang yang gagah berani. Baginda juga seorang pemimpin tertinggi umat Islam yang adil, tegas dan saksama. Semua ini tidak membataskannya untuk mencurahkan kasih sayang dan bersikap romantik terhadap isteri-isterinya. Terasa pelik juga kerana para suami masa kini memang cukup sinonim dengan penyataan, “ikut sunah Nabi,” untuk perkara tertentu (baca poligami) tetapi, terlepas pandang untuk ‘ikut sunah Nabi’ dalam melahirkan rasa kasih dan cinta terhadap isteri!

Macam mana Rasulullah tunjukkan sifat romantiknya? Para suami dipersilakan baca dan hadamkan sikap romantik Baginda Rasulullah SAW dan pakat-pakat praktikkan kepada isteri masing-masing.

Mandi Bersama

Mandi bersama? Mengapa tidak. Mandi bersama bukan bermaksud berada di bilik air bersama-sama sambil mandi-manda sahaja. Boleh saja diselitkan dengan aktiviti-aktiviti romantik yang boleh meningkatkan lagi kasih sayang dan kemesraan antara suami isteri. Rasulullah ketika mandi dirungkai-rungkainya rambut isteri kesayangannya, Aisyah RA (Sahih Muslim : 498). Diriwayatkan bahawa  Aisyah RA berkata yang bermaksud: “Aku sentiasa mandi bersama dengan Nabi SAW daripada satu bekas. Tangan kami sama-sama berselisih (ketika menggunakan air dalam bekas itu).” (Sahih al-Bukhari: hadis no : 253)

Baginda juga bergurau senda bermain dan berebut-rebut mengambil air hingga Aisyah, dalam suasana romantik dan mesra itu meminta Nabi supaya menyimpan air sedikit untuknya kerana semuanya telah diambil oleh Nabi SAW (Sunan An-Nasai : 239). Ummu Salamah juga pernah bercerita bahawa dia mandi bersama dengan Rasulullah dan ketika itu Baginda menciumnya. Menurutnya, peristiwa ini berlaku, ketika Baginda sedang berpuasa (Mushad Ahmad : 25355). Sweetkan Rasulullah?

Hantar Isteri Keluar Rumah

Nabi SAW juga menghantar isteri ketika mahu keluar rumah. Rasulullah pernah berkata kepada isterinya Shafiyyah binti Huyay yang bermaksud: “Jangan terburu-buru hingga aku mengiringimu (menemani sampai ke pintu).” (HR Bukhari dan Muslim)

Malah, Rasulullah  SAW juga membantu isterinya menaiki kenderaan. Di dalam Sahih Bukhari dan Muslim menceritakan yang bermaksud: “Nabi Muhammad SAW duduk di sisi unta Baginda. Kemudian Baginda menekukkan lututnya. Lalu isteri Baginda Shafiyyah meletakkan kakinya di atas lutut Nabi SAW hingga naik atas unta.”

 

Bawa Isteri Jalan-Jalan

Kadang-kadang para suami ‘segan silu’ untuk membawa isteri berjalan-jalan. Walhal semasa bercinta bangga ‘mengarak’ awek ke hulu ke hilir  satu kampung! Dalam Sahih Bukhari dan Muslim bahawa menceritakan yang bermaksud: “Rasulullah apabila datang waktu malam, Baginda berjalan bersama Aisyah dan berbincang-bincang dengannya.”  Bukan setakat membawa berjalan-jalan, Nabi SAW juga membawa isteri membonceng di belakangnya! Dalam hadis riwayat Bukhari menyatakan Anas bin Malik menceritakan bahawa ketika pulang dari perang Khaibar salah seorang isteri Rasulullah membonceng di belakangnya.

Malah apabila Baginda ingin keluar, Baginda akan mengundi siapa dari kalangan isteri-isterinya yang akan menemaninya untuk keluar bersama. Bahkan, ada suatu ketika Nabi pernah menolak pelawaan jirannya yang berbangsa Parsi untuk makan di rumah mereka sekiranya isterinya Aisyah RA tidak turut diundang bersama (Hadis riwayat Muslim).

 

Makan Sepinggan dan Suapkan Makanan

Mari kita tukar persepsi. Makan bersuap bukan hanya di majlis makan beradab. Suami isteri sememangnya digalakkan makan bersuap sepertimana dalam sahih Bukhari dan Muslim Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya apapun yang kamu nafkahkan, maka hal itu adalah sedekah hingga suapan yang kamu suapkan ke mulut isterimu.” 

 

Teringat seorang ustaz ada berpesan. Pasangan suami isteri ketika makan kena bersuap. Jangan sesekali makan pinggan asing-asing. Mesti makan dari pinggan yang sama. Ini sunah Nabi SAW kalau mahu rumahtangga bahagia. Amalkanlah sunah ini. Insya-Allah rumahtangga akan sentiasa rukun dan aman damai.

Belaian dan Bermanja

Nabi SAW dalam satu riwayat Ahmad berkata yang bermaksud: “Rasulullah tidaklah setiap hari melainkan Baginda selalu mengunjungi isteri-isterinya seorang demi seorang. Rasulullah menghampiri dan membelai mereka secara bergantian.”

Adakalanya romantiknya Nabi SAW sehinggakan Baginda sengaja bermanja dengan menyandarkan kepalanya kepangkuan isterinya sepertimana yang dipertuturkan Aisyah RA dalam Sahih Bukhari yang bermaksud: “Nabi SAW membaca al-Quran (mengulang hafalan) dan kepalanya berada di pangkuanku sedangkan aku dalam keadaan haid.”

Bahkan amalan ini berlarutan sehingga detik-detik akhir hayat Rasulullah SAW. Aisyah RA berkata yang bermaksud:”Ketika maut menghampiri Rasulullah SAW, kepala Baginda berada di atas pahaku.”

 

Ada suatu hari ketika Aisyah sedang asyik menyaksikan kanak-kanak bermain bersama ibu mereka, Baginda Nabi SAW mengangkat Aisyah. Lalu Baginda mendukung Aisyah di belakangnya; “Baginda mendirikanku di belakang dan pipiku di atas pipi baginda. Ku letakkan bahuku di atas bahu Rasulullah SAW.” (HR Bukhari dan Muslim).

Rasulullah juga sering memberikan kucupan mesra kepada isteri-isterinya ketika Baginda ingin pergi ke masjid.

 

Pengubat Hati 

Rasulullah juga pandai mengambil hati dan penghibur hati isteri-isterinya. Sewaktu isteri-isterinya dalam kedukaan, Baginda hadir menghiburkan hati, mengubat kedukaan dan kesakitan. Diriwayatkan dari Aisyah RA yang bermaksud: “Nabi Muhammad SAW adalah orang yang penyayang lagi lembut. Baginda akan menjadi orang yang sangat lembut dan paling banyak menemani ketika isterinya sakit.” (Bukhari dan Muslim)

Bergurau Senda

Baginda juga sering bergurau senda bersama isterinya. Suatu hari datang Saodah (salah seorang isteri Nabi SAW) ke rumah Aisyah. Lalu Nabi SAW duduk di antara Aisyah dan Saodah dan meletakkan kaki Baginda di atas pangkuan mereka. Ketika Aisyah menjemput Saodah makan, dia menolaknya kerana tidak berselera. Lalu Aisyah berkata: “(Demi Allah), makanlah atau aku akan mengotori wajahmu.”

Saodah menolak dengan berkata: “Aku tidak akan memakannya.”

Lalu Aisyah mengambil makanan dan disapukan ke wajah Saodah. Rasulullah SAW tertawa. Kemudian Rasulullah menyuruh Saodah membalas semula dengan mengotori wajah Aisyah. Setelah Saodah mengotori wajah Aisyah, Rasulullah terus tertawa. (an-Nasai’e, Ibn Abi Dunya)

Panggilan Manja

Asyik-asyik panggilan manja suami isteri: ‘mama,’ ‘papa,’ ‘you,’ ‘I,’ ‘awak,’ ‘aku,’ atau ‘kau.’ Nak lagi sadis dipanggilnya: ‘Pak hang,’ ‘mak hang’ atau ‘mak aji,’ atau ‘pak aji.’ Aduh… masa bercinta panggilan cukup manja. ‘Sayang,’ ‘ darling,’ tapi lepas kahwin lain pula dipanggilnya!

Cuba contohi Rasulullah. Baginda SAW memanggil isterinya dengan panggilan manja. Baginda memanggil Aisyah RA dengan panggilan “Ya Humaira” yang bermaksud “Wahai si putih kemerah-merahan atau mawar merah.” Adakalanya Nabi SAW memanggil Aisyah dengan singkatan manja “Ya Aisy” yang bermaksud kehidupan, ketika Baginda menyampaikan salam daripada Malaikat Jibril untuk Aisyah RA.

Jangan Malu Jadi Romantik!

Subhanallah…lihatlah betapa romantiknya Rasulullah. Tawaduk dan romantiknya Baginda membuatkan kita yang membaca kisah cinta Baginda bersama isteri-isterinya seolah-olah sedang menghayati novel cinta romantik!

Jelas, bersikap romantik adalah sunah Nabi SAW. Memang, siapalah kita berbanding Rasulullah SAW yang jauh lebih mulia dari segala manusia. Cuma harapannya, pasangan suami isteri tidak malu-malu untuk mengamalkannya. Suasana romantik bukan saja dapat memupuk ikatan cinta dan kasih sayang yang lebih intim di antara suami isteri, malah memberikan ketenangan dan belaian jiwa sepanjang usia perkahwinan. Insya-Allah.

Artikel Berkaitan

‘Tahniah Dr Sirajuddin’ – Anwar

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Dr

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *