Home » Langit Terbuka » Kerajaan haramkan penanaman ketum, henti polemik – TPM

Kerajaan haramkan penanaman ketum, henti polemik – TPM

KUALA LUMPUR 4 Ogos – Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan memutuskan untuk mengharamkan penanaman, penjualan dan penggunaan pokok ketum kerana tanaman itu memudaratkan iaitu menimbulkan ke­tagihan serta penyakit tertentu.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri mahu semua pihak termasuk Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menghentikan perancangan dan polemik mengenai penanaman ketum secara komersial di negara ini.

“Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kesihatan telah mengadakan sesi taklimat de­ngan pakar-pakar kesihatan serta jabatan siasatan jenayah bahagian narkotik dan kita mendapat input secara saintifik.

“Biarpun ketum ini mempu­nyai kebaikan tetapi lebih banyak unsur-unsur yang tidak baik jika digunakan kerana menyebabkan ketagihan serta menimbulkan pe­nyakit tertentu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Media Prima Berhad di Pusat Konvensyen Sime Darby di sini hari ini.

Pada 26 Julai lalu, Pengerusi RISDA, Datuk Zahidi Zainul Abidin mengesyorkan pekebun kecil getah diberi kebenaran menanam ketum untuk dieksport sebagai alternatif meningkatkan pendapatan golongan berkenaan, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap getah.

Ini berikutan kajian saintifik menunjukkan daum ketum ada khasiat perubatan yang tinggi, malah agensi itu dikatakan turut menerima permohonan daripada syarikat-syarikat farmasi Amerika Syarikat dan Eropah bagi membekalkan tumbuhan herba tersebut.

Ahmad Zahid menegaskan, kerajaan tidak menolak kajian saintifik yang kini dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) terhadap daun ketum bagi tujuan perubatan tetapi inisiatif itu akan mengambil masa.

“Buat masa ini, daun ketum tidak dibenarkan ditanam secara komersial, diedarkan dan digunakan kerana keburukannya lebih banyak daripada kebaikan,’’ tegas beliau.

Sementara itu, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan kerajaan itu diterima dengan baik oleh RISDA dalam sesi pembentangan laporan terperinci berhubung cada­ngan membenarkan pekebun kecil menanam pokok ketum hari ini.

“Jadi, saya harap isu ini dihentikan kerana RISDA tidak akan terlibat dengan sebarang program tanaman ketum yang bertujuan untuk menambah pendapatan pekebun kecil,” katanya dalam sidang akhbar di kementeriannya.

Ismail Sabri berkata, antara perkara yang diberi perhatian berkaitan cadangan RISDA itu adalah langkah kerajaan untuk meminda Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi menyenaraikan daun ketum sebagai dadah berbahaya.

Dalam pembentangan laporan terperinci RISDA berhubung cadangan tanaman pokok ketum, pekebun kecil berpotensi mendapat keuntungan sehingga RM22,890 sebulan untuk satu hektar tanah.

www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *