Home » Langit Terbuka » Kerajaan sediakan ruang 300 pelarian Rohingya bekerja

Kerajaan sediakan ruang 300 pelarian Rohingya bekerja

KUALA LUMPUR 22 Nov. – Kerajaan sedang dalam proses melaksanakan projek perintis bagi memberi kebenaran kepada 300 pelarian etnik Rohingya yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) untuk bekerja di negara ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, mereka yang berkelayakan dan memenuhi syarat yang ditetapkan oleh kerajaan akan dibenarkan bekerja dalam sektor perladangan dan perkilangan.

“Walaupun Malaysia bukan negara anggota kepada Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Berkaitan Status Pelarian 1951 dan Protokol 1967, tindakan negara dalam mengendalikan imigran dan pelarian atas dasar kemanusiaan jelas membuktikan bahawa Malaysia telah melaksanakan tanggungjawab melebihi obligasi sedia ada negara di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Sejumlah 151,560 pelarian dan pemohon suaka berdaftar dengan UNHCR di Malaysia direkodkan sehingga Mei lepas.

Daripada jumlah itu, 137,261 orang berasal dari Myanmar yang terdiri daripada etnik Rohingya (52,960), Chins (42,973), Myanmar Muslim (11,232), Rakhines dan Arakanese (5,762) serta beberapa etnik lain.

Dalam isu lain, Nur Jazlan berkata akta khusus untuk Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) akan dibentang pada sidang Parlimen tahun depan untuk meningkatkan usaha kementerian membanteras isu ketirisan ekonomi berkaitan aktiviti penyeludupan di sempadan darat negara.

“Akta AKSEM diharap akan memberi kuasa yang lebih kepada agensi itu untuk mengkoordinasikan semua aktiviti penguatkuasaan agensi di bawahnya supaya ia akan lebih berkesan mengekang masalah penyeludupan dan membawa penghukuman mereka-mereka yang terlibat,” katanya.

AKSEM adalah agensi yang bertanggungjawab mengkoordinasikan agensi-agensi penguatkuasaan di sempadan dalam melaksanakan operasi secara bersepadu melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS). – Bernama

Artikel Berkaitan

Malaysia negara pertama terima visa haji

KUALA LUMPUR: Malaysia menjadi negara pertama yang menerima pengeluaran visa haji daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi jemaah musim haji

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *