Home » Citra Yadim » Program bersama TLDM diteruskan

Program bersama TLDM diteruskan

KUALA LUMPUR – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) akan meneruskan program kolaborasi bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi menyemarakkan lagi kegiatan dakwah melibatkan anggota dan ahli keluarga TLDM.

Yang Dipertua Yadim. Dr. Yusri Mohamad berkata, sehingga kini sebanyak dua program Program Dakwah Merentasi Samudera telah diadakan iaitu di Lumut, Perak dan Tanjung Pengelih, Johor.

“Yadim merancang untuk mengadakan satu lagi Program Dakwah Merentasi Samudera iaitu di Sabah, bagi meneruskan kerjasama dengan TLDM dalam bidang dakwah ini,’’ katanya ketika berucap pada majlis perasmian Program Dakwah Merentasi Samudera di  di KD Sultan Ismail Tanjung Pengelih, Johor pada 12 November lalu.

Yang turut hadir dalam program itu termasuk Pegawai Memerintah KD Sultan Ismail, Kepten Zahid Bin Abd Aziz, pegawai-pegawai kanan TLDM, para perajurit serta ahli keluarga seramai kira-kira 1,000 orang.

Beliau berkata, dalam setiap program berkenaan, YADIM membawa tiga program utama iaitu Program Wacana Pemantapan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, Program Celik Muamalah dan Bicara Sakinah.

“Pada tahun 2016 ini, perancangan pelaksanaan program adalah melibatkan kumpulan sasar kepada pasukan beruniform seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Program ini disasarkan kepada pasukan beruniform kerana pasukan ini adalah bahagian barisan hadapan negara dan perlu diberi penerangan dan kefahaman berkaitan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Beliau menjelaskan, program yang diadakan itu adalah siri ketiga bersama ATM dan siri kedua bersama TLDM dan merupakan sebahagian daripada pendekatan dakwah sosial yang dilaksanakan oleh YADIM.

Secara ringkas, katanya, program Wacana Pemantapan Akidah adalah bertujuan bagi memberi pemahaman dan penjelasan berkaitan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, sementara program Celik Muamalah bertujuan memberi kefahaman dan kesedaran kepada umat Islam berkenaan sistem kewangan Islam yang meliputi perbankan Islam, takaful, pelaburan patuh syariah dan pengurusan hutang.

“Manakala program Forum Bicara Sakinah mengupas tentang peranan individu dalam membangunkan model keluarga Islam yang boleh dicontohi,’’ katanya.

Beliau berkata, dalam masyarakat yang semakin pudar dengan nilai kasih sayang pada hari ini, YADIM mahu masyarakat menyedari tentang kepentingan ketiga-tiga program di atas dalam kehidupan harian.

Menurutnya, hidup berkeluarga adalah sebagai asas untuk melahirkan individu bertakwa, biarpun usaha untuk melahirkan keluarga cemerlang yang menghayati nilai-nilai Islam bukanlah mudah.

Namun, beliau berkata, sekiranya usaha tersebut disulami dengan ilmu agama dan kekeluargaan yang mencukupi, maka usaha itu pasti membuahkan hasil.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *