Home » Langit Terbuka » Kerajaan tidak kompromi isu keselamatan negara

Kerajaan tidak kompromi isu keselamatan negara

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V bertitah pada pembukaan Mesyuarat Pertama bagi Penggal Keenam, Parlimen Ke-13. Foto : Berita Harian

KUALA LUMPUR: Kerajaan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V mengenai isu keselamatan dan keamanan negara yang tidak boleh dipersendakan dan menjadi mainan politik oleh mana-mana pihak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata sememangnya kerajaan tidak pernah berkompromi dalam soal keselamatan dan keamanan negara, sama ada ancaman itu datang dari dalam ataupun luar negara, termasuk ancaman ruang siber.

“Saya juga merafak sembah ucapan terima kasih atas perkenan Tuanku untuk kerajaan menangani berita palsu melalui cadangan kepada penggubalan undang-undang yang baharu.

“Rang Undang-Undang ini masih diperhalusi di peringkat Jawatankuasa dan sesi perbincangan masih lagi berjalan bersama-sama pihak berkepentingan.

“Kerajaan akan meneruskan usaha bagi memastikan isu ini dapat ditangani secara berkesan dan holistik,” katanya dalam kenyataan media mengenai titah baginda pada pembukaan Mesyuarat Pertama bagi Penggal Keenam, Parlimen Ke-13, hari ini.

Dalam kenyataan yang sama, Azalina berkata, beliau selaku Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Parlimen menjujung kasih di atas perkenan baginda merasmikan pembukaan mesyuarat pertama bagi Penggal Keenam Parlimen ke-13.

Sultan Muhammad V berkenan merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama bagi penggal keenam Parlimen Ke-13 di Dataran Parlimen di sini, pagi ini.

Persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama 20 hari hingga 5 April, manakala Dewan Negara dari 16 April hingga 30 April selama sembilan hari. – BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *