Home » Citra Yadim » Kerjasama penyelidikan, pelawaan sertai sesi Ijtimak Pondok Malaysia

Kerjasama penyelidikan, pelawaan sertai sesi Ijtimak Pondok Malaysia

PUTRAJAYA – Persatuan Muafakat Pondok SeMalaysia (PMPS) dijemput untuk turut serta dan bekerjasama dalam bidang penyelidikan dengan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

Yang Dipertua YADIM, Yang Berusaha Ustaz Nasrudin Hassan berkata, menerusi Sektor Penyelidikan, Penerbitan dan Antarabangsa badan dakwah ini, PMPS yang mewakili kira kira 250 pondok di seluruh Malaysia tentunya boleh menyumbang pengalaman dan pengetahuan yang cukup banyak dan berharga.

“Kita tahu pondok pondok mempunyai keistimewaan tersendiri, terutamanya dalam penguasaan warisan ilmu islam. Dengan pengajian turath, kitab kitab muktabar , yang perlu kita manfaatkan untuk menjayakan gerakan dakwah,’katanya.

Beliau berkata demikian dalam pertemuan dengan PMPS yang melakukan kunjungan hormat ke ibu pejabat YADIM di sini pada 12 Ogos.

Antara yang hadir mewakili PMPS ialah Pengerusinya, Mokhtar Senik dan Timbalan Pengerusi 2, Mutalib Maarof.

Dalam pada itu tambah Nasrudin, pihaknya akan menandatangani perjanjian persefahaman dengan 12 buah universiti bagi membangunkan jurnal dalam talian bulan hadapan yang akan digunakan dalam bidang dakwah.

“Masing masing (universiti berkenaan) memilki kepelbagaian kepakaran dalam bidang dakwah. Di sini PMPS boleh main peranan untuk beri input dari pandangan dan pengalaman sekolah pondok,” ujarnya.

Sementara itu, dalam pertemuan itu juga YADIM dipelawa untuk menyertai sesi dialog dengan guru guru pondok dalam satu ijtimak yang dirancang diadakan di Pulau Pinang pada hujung Oktober ini.

Ijtimak ini akan menghimpunkan guru guru dan para pelajar pondok dari seluruh negara bagi membincang isu isu berkaitan dan memperkasakan institusi pondok di negara ini.

Mutalib ketika mempelawa YADIM berkata, pihaknya amat berharap badan dakwah ini akan dapat menyertai sesi dialog yang diadakan dalam ijtimak itu nanti.

“Kita cuba sesuaikan pengisian ijtimak itu dengan guru guru pondok, jadi kita adakan lebih banyak perbincangan dan dialog di dalamnya,” ujar beliau.

Turut dibincangkan dalam pertemuan ini ialah suntikan pengalaman sekolah sekolah pondok untuk diaplikasikan dalam program perkaderan YADIM seperti Rakan Siswa YADIM dan Daie Muda YADIM.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *