Home » Langit Terbuka » Kesedaran wakaf dalam kalangan umat Islam masih sederhana

Kesedaran wakaf dalam kalangan umat Islam masih sederhana

KUALA LUMPUR 23 Ogos – Keberkesanan wakaf sebagai instrumen memperkasakan ekonomi tidak dapat disangkal selepas berjaya memainkan peranan utama dalam pembentukan tamadun Islam kira-kira 1,400 tahun lalu.

Namun, apa yang menyedihkan, kesedaran dalam kalangan umat Islam di negara ini tentang kepentingan berwakaf masih lagi sederhana.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, berdasarkan maklumat terkini, hanya terdapat 335 pewakaf di Wilayah Persekutuan yang membuat sumbangan wakaf tetap bulanan me­lalui skim potongan gaji kepada Yayasan Wakaf Malaysia (YWM).

Menurutnya, negara masih lagi belum mengoptimumkan sepenuhnya potensi yang dimiliki wakaf sebagai elemen kekuatan umat Islam.

“Kesedaran masyarakat amat sederhana kerana kita hanya melihat membuat kebajikan dari aspek bersedekah sahaja, padahal kaedah wakaf lebih menarik yang mana pahala yang diterima akan berterusan sehingga akhirat.

“Wakaf tidak hanya wujud dalam bentuk tunai sahaja tetapi banyak lagi seperti wakaf ekonomi, kesihatan, prihatin dan pendidikan yang se­wajarnya diterokai,” katanya da­lam sidang akhbar selepas me­rasmikan Seminar Pembudayaan Wakaf Peringkat Wilayah Persekutuan 2016, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif YWM, Prof. Datuk Dr. Sudin Haron dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Per­sekutuan, Paimuzi Yahya.

Asyraf Wajdi menambah, berikutan itu, beliau menggesa YWM bersama jabatan agama Islam ne­geri-negeri menjalankan kerjasama melalui pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) untuk memberi kesedaran kepada masyarakat terhadap kepentingan wakaf dalam pemba­ngunan negara.

Jelasnya, amalan wakaf perlu dibuda­yakan dalam kala­ngan umat Islam bermula dari sekarang.

Mengulas mengenai perbezaan wakaf dan sedekah, beliau berkata, wakaf adalah sumbangan dana berbentuk kekal yang tidak boleh diusik dan hanya faedahnya boleh dimanfaatkan untuk kegunaan umat Islam.

“Sedekah adalah sumbangan berbentuk beri dan habis di situ sahaja tetapi asas kepada wakaf harus berkekalan. Pokok (dana tersimpan) tidak boleh diusik hanya manfaat daripada aktiviti perniagaan atau pelaburan yang akan digunakan untuk membantu orang miskin,” ujarnya.

https://www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *