Home » Citra Yadim » MDN himpun ilmuwan muda

MDN himpun ilmuwan muda

KUALA LUMPUR 24 Ogos 2016 – Majlis Dakwah Negara (MDN-Yadim) akan mengadakan Multaqa Belia Dan Ilmuwan Muda bertempat di Hotel Bangi- Putrajaya, Bandar Baru Bangi pada 28 Ogos ini dengan membawa tema ‘”Belia Islam…10 Tahun Akan Datang”.

Tujuan utama program ini diadakan adalah untuk mengumpulkan seramai mungkin tokoh belia dan ilmuwan muda dari pelbagai bidang kemahiran dan latarbelakang kecenderungan untuk mendapatkan pandangan mereka terhadap masa depan belia Islam 10 tahun akan datang.

Selain itu, program ini juga dapat  mewujudkan persefahaman, permuafakatan dan juga kesatuan  di kalangan generasi muda dan belia Islam  agar  segala  kemahiran, ilmu, tenaga dan juga masa muda mereka dapat dimanfaatkan untuk membina perpaduan ummah dan juga pembangunan negara berasaskan kepada  ketamadunan Islam.

Melalui program ini, MDN juga berharap dapat membina hubungan strategik dengan beberapa tokoh belia dan ilmuwan muda yang terlibat secara langsung dalam aktiviti golongan muda dan pembangunan generasi muda dengan harapan hubungan ini akan dapat dimanfaatkan oleh semua pihak.

Pada akhir program ini, diharapkan beberapa Kumpulan Kerja di bawah  Kumpulan Kerja Belia dan Ilmuwan Muda, Panel Perunding Perpaduan Ummah-MDN  dapat ditubuhkan bagi menggerakkan agenda pendidikan, sosial dan ekonomi agar ianya dapat menjadi pemangkin kepada perpaduan ummah di kalangan generasi muda di masa akan datang.

Pengerusi MDN, Prof Emeritus Datuk Mahmood Zuhdi Abdul Majid berkata, program ini bakal dihadiri oleh golongan belia dan juga para imuwan muda  dari pelbagai latar belakang , profesion dan peringkat umur.

“Sesungguhnya penganjuran Multaqa Belia dan Ilmuwan Muda ini adalah satu kesinambungan daripada Multaqa Perpaduan Ummah anjuran  MDN yang telah diadakan sebelum ini di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) pada 18 Mei 2016.

“Dalam Resolusi Multaqa berkenaan telah diusulkan supaya diadakan multaqa khas untuk golongan belia dan muda bagi membincangkan peranan yang harus dilakukan oleh golongan muda masa kini dan juga apakah hala tuju perjuangan mereka di masa hadapan,’’ katanya.

Beliau menjelaskan, dengan pelaksanaan multaqa khas ini dapat memberi ruang kepada para peserta yang hadir mengutarakan hasrat dan juga aspirasi mereka untuk diambil perhatian  serius  oleh MDN dalam merangka Pelan Tindakan Perpaduan Ummah.

Beliau berkata,  peranan dan juga keterlibatan golongan muda dalam  menentukan kestabilan politik negara dan kesejahteraan sosio-ekonomi  masyarakat  di masa depan adalah amat penting dan signifikan.

Dengan sebab itu, katanya  maka amat bertepatan sekali Multaqa Belia dan Ilmuwan Muda ini dianjurkan dengan harapan dapat menjawab pelbagai persoalan kritikal yang harus diperbincangkan secara serius  yang perlu dirungkaikan jalan penyelesaiannya oleh golongan belia dan ilmuwan muda itu sendiri.

Artikel Berkaitan

‘Tahniah Dr Sirajuddin’ – Anwar

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Dr

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *