Home » Langit Terbuka » Kewangan Tabung Haji terus kukuh

Kewangan Tabung Haji terus kukuh

KUALA LUMPUR 26 Jan. – Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) menegaskan kedudukan kewangan organisasi itu terus kekal kukuh dan simpanan pendeposit adalah terjamin menurut konsep simpanan Islam, Al Wadiah Yad Dhamanah seperti yang termaktub dalam Akta Tabung Haji.

Tabung Haji dalam satu kenya­taan menegaskan, fokus utama organisasi itu adalah bagi memastikan pencapaian terbaik dalam pengurusan haji, perniagaan serta pelaburan mengikut prinsip Islam demi kepentingan pendeposit.

“Kami tidak akan membenarkan organisasi ini dipaksa untuk memberi penjelasan berulang kali dan menghabiskan masa mempertahankan kedudukan disebabkan oleh serangan negatif, tidak tepat dan berasaskan analisis cetek.

“Tanggungjawab Tabung Haji jauh lebih besar terhadap pendeposit kami iaitu memastikan pengurusan operasi haji dan pengurusan dana dilaksanakan dengan berkesan melalui tadbir urus korporat dan amalan perniagaan baik serta mengutamakan integriti, akauntabiliti dan ketelusan,” jelas kenyataan itu hari ini.

Menurut Tabung Haji, serangan berterusan oleh sesetengah pihak terhadap organisasi itu lebih bermotifkan politik dan secara tidak langsung boleh memberi kesan negatif terhadap keyakinan pendeposit.

Jelas kenyataan itu lagi, amat penting bagi semua pendeposit memahami kontrak simpanan Tabung Haji yang berkonsepkan Al Wadiah Yad Dhamanah dan simpanan mereka dijamin sepenuhnya oleh kerajaan.

“Dalam masa yang sama, semua simpanan disokong oleh aset portfolio Tabung Haji yang seimbang. Pengalaman dan ketelitian Tabung Haji dari segi pelaburan serta pematuhan kepada panduan pelaburan ketat juga merupakan faktor yang membolehkan kami mengenal pasti risiko dan mengambil tindakan sewajar­nya dalam mengurangkan tahap risiko.

“Malangnya ramai yang terpengaruh dengan hasutan pihak-pihak tertentu yang sentiasa menonjolkan pelaburan kurang mapan dan menolak ke tepi banyak pelaburan lain yang membawa keuntungan.

“Tabung Haji telah mencatatkan prestasi kewangan yang menguntungkan walaupun terdapat kerugian dalam beberapa kaunter pelaburan. Bagi pelaburan yang rugi, Tabung Haji telah membuat peruntukan dan susut nilai berhemat seperti yang digariskan oleh piawaian kewangan dan perakaunan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, ha­sil yang diperoleh daripada pe­laburan Tabung Haji telah membolehkan organisasi itu me­nampung peningkatan kos operasi haji serta terus memberi subsidi haji kepada jemaah haji setiap tahun.

“Subsidi haji dijangka mening­kat kepada lebih kurang RM200 juta tahun ini. Tabung Haji telah memberi subsidi haji sejak tahun 2000 dan kami yakin dengan ke­stabilan kewangan dan daya tahan organisasi yang membolehkan kami memenuhi matlamat penubuhan yang memfokuskan kepada pendeposit yang mahu me­laksana dan melengkapkan Rukun Islam kelima itu,” katanya.

https://www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *