Home » Langit Terbuka » Konflik Asia Barat direka

Konflik Asia Barat direka

Mufti Besar Syria, Sheikh Ahmad Badre Eddin Hassoun

Sengaja dicetuskan bagi alih perhatian isu Palestin – Mufti Syria

BAGHDAD 18 Feb. – Mufti Besar Syria, Sheikh Ahmad Badre Eddin Hassoun memberi peringatan bahawa konflik dan serangan yang meletus di rantau Asia Barat sebenarnya ‘sengaja dicetuskan’ bagi mengalih perhatian warga Arab daripada isu yang membe­lenggu rakyat Palestin.

Sheikh Ahmad Badre ketika berucap pada majlis pembukaan Persidangan Pengasas Perhimpunan Kesatuan Islam Iraq menegaskan, untuk itu tiada alasan bagi mana-mana pihak di rantau tersebut mengukuh­kan perpaduan terutamanya selepas kemenangan Syria dan Iraq memerangi keganasan serta pemberontakan.

Menurut portal berita SANA, Penasihat kepada Pemimpin Revolusi Islam di Iran, Ali Akbar Velayati turut memberi amaran tentang usaha yang diterajui oleh Amerika Syarikat (AS) untuk mewujudkan ‘Asia Barat yang baharu’ bermula daripada perpecahan di Syria.

Beliau turut memberitahu bahawa barisan pertahanan hadapan di Iraq, Syria dan Lebanon akan mengusir pasukan AS dari timur Sungai Euphrates.

“Konspirasi AS terhadap Iraq gagal selepas mengusir organisasi pengganas Daesh. Semua orang tahu sasaran AS seterusnya selepas Syria adalah Turki dan Iran.

“Ilusi AS dan Israel tidak akan dicapai, mengingatkan kekalahan mereka di Lebanon, Syria dan Iraq,” tegasnya.

Pada majlis sama, wakil Pre­siden Iraq dan Ketua Perhimpunan Iraq untuk Perpaduan Islam, Mahmoud Iysawi berkata, rakyat Iraq telah banyak berkorban demi mencapai kemenangan menentang Daesh dan penyatuan antara negara kini menjadi matlamat penting di rantau itu.

Dalam pada itu, dua remaja Palestin terbunuh dalam pergolakan terbaharu yang menggegarkan sempadan Gaza.

Kementerian Kesihatan Gaza mengesahkan, Salam Sabah dan Abdullah Abu Sheikha, kedua-duanya berusia 17 tahun, ditembak mati tentera Israel ketika menyertai bantahan di timur Rafah.

Kematian tersebut berlaku selepas Israel melancarkan satu siri serangan udara yang menyasarkan 18 lokasi ketenteraan milik Hamas di Gaza termasuk sebuah terowong pejuang di kawasan Zaytun dan kemudahan ketenteraan berhampiran Deir el-Balah dan Khan Yunis.

Serangan jet pejuang Israel itu sebagai tindak balas terhadap pelancaran roket dari Gaza yang jatuh berhampiran sebuah rumah di Israel serta letupan bom buatan sendiri di sepanjang sempadan berhampiran kawasan Pa­lestin yang mencederakan empat anggota tenteranya.

Tentera Israel menjelaskan, peranti letupan itu telah ditanam pada bendera semasa demonstrasi di kawasan itu dan diletupkan sebaik sahaja tentera Israel menghampirinya. – UTUSAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *