Home » Langit Terbuka » Konsep pembangunan Islam berterusan bukti agama dijaga

Konsep pembangunan Islam berterusan bukti agama dijaga

Foto Hiasan.

Islam dan pembangunan tidak dapat dipisahkan di negara ini. Malah, Islam tidak sekadar dijadikan agenda pelaksanaan perintah agama secara kolektif dan sistematik sebagai tanda pengabdian kepada Tuhan, bahkan diberikan fungsi sebagai pemacu pembangunan, sama ada bersifat kerohanian, kebendaan mahupun intelektual untuk mewujudkan kebaikan serta menghindarkan keburukan.

Antara contoh komitmen dan kesungguhan kerajaan mengangkat kepentingan Islam dalam arus pembangunan ialah agenda, konsep dan dasar dijenamakan dengan istilah bahasa Arab, khususnya dalam tempoh dua dekad mulai 2004 hingga kini.

Penjenamaan dengan istilah daripada bahasa kitab al-Quran ini bertujuan menonjolkan identiti Islamik dalam meraih sokongan dan kepercayaan masyarakat Islam yang menjadi majoriti, selain menyusurgalurkan maksud dikehendaki dengan etimologi sebenar dan tulen dalam bahasa sumber.

Bermula daripada Perdana Menteri Kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi hingga Perdana Menteri Ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kecuali Perdana Menteri Ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob), Islam dengan salutan istilah Arab diangkat sebagai agenda, konsep dan dasar negara.

Abdullah melancarkan konsep Islam Hadhari pada 30 Januari 2004. Secara harfiah, Islam Hadhari ialah Islam bertamadun yang menjadi konsep mengangkat usaha mengembalikan umat Islam di negara ini kepada asas terkandung dalam al-Quran dan hadis. Asas dimaksudkan ialah ilmu komprehensif serta pembangunan menyeluruh dan holistik.

Perdana Menteri Ke-6, Datuk Seri Najib Razak pula memperkenalkan konsep wasatiyyah pada 2010 dan mengangkatnya sebagai dasar negara pada 21 Oktober 2016. Wasatiyyah bermaksud kesederhanaan, pertengahan, keseimbangan, keadilan dan kecemerlangan bertujuan mewujudkan keadilan, kesamarataan peluang serta keamanan sejagat yang menjadi hala tuju Transformasi Nasional 2050.

Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Ke-7, Tun Mahathir Mohamad pula mengetengahkan gagasan Rahmatan Lil Alamin pada 25 April 2019. Frasa dipetik daripada al-Quran, iaitu surah al-Anbiya’ ayat 107 itu bermaksud rahmat kepada sekalian alam.

Gagasan bersifat inkusif ini mempamerkan Islam sebagai agama membawa rahmat kepada semua anggota masyarakat berasaskan kasih sayang dan keadilan. Ia bermatlamat memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta, bukan hanya menepati prinsip maqasid (tujuan) syariah, bahkan selari dengan prinsip hak asasi manusia sejagat dan matlamat pembangunan lestari pada peringkat global.

Seterusnya, pentadbiran kerajaan di bawah Perdana Menteri Ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin memperkenalkan agenda Manhaj Rabbani pada 25 Januari 2021. Secara harfiah, Manhaj Rabbani ialah kaedah ketuhanan.

Agenda berteraskan nilai ketuhanan ini bertujuan memastikan pentadbiran negara menepati prinsip Islam komprehensif, praktikal dan mudah untuk difahami semua lapisan masyarakat termasuk bukan Islam. Terdapat tujuh hala tuju agenda ini, iaitu rahmat, aman, bertuhan, bakti, adil, nurani dan insani.

Di bawah pentadbiran Anwar pula, beliau meluncurkan Malaysia MADANI untuk mengubah Malaysia menjadi lebih makmur dan maju berteraskan enam nilai, iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan. Etimologi madani mempunyai medan makna luas merangkumi bandar, tamadun, peradaban, kemajuan, pembangunan, moden dan awam.

Pada 19 Januari nanti, genap setahun peluncuran Malaysia MADANI sebagai kerangka dasar baharu negara bersepadu dan holistik, berorientasikan masa depan untuk mewujudkan sebuah masyarakat madani, maju, terampil dan terangkum. Kerangka ini sejak sekian lama menjadi aspirasi politik PMX.

Walaupun berbeza nama dan pendekatan, Malaysia MADANI ialah kesinambungan kepada agenda, konsep dan dasar terdahulu. Secara perbandingan, semua agenda, konsep dan dasar dijenamakan dengan istilah bahasa Arab dalam tempoh dua dekad ini meletakkan Islam sebagai dasar pembangunan memacu Malaysia maju dalam acuan berteraskan nilai ketuhanan, kemanusiaan dan kemasyarakatan.

Selepas Malaysia MADANI, konsep baharu akan diperkenalkan oleh Perdana Menteri baharu. Perubahan dan pengenalan konsep baharu menjadi perkara lumrah dan proses biasa dalam sistem pentadbiran negara.

Tepis tanggapan Islam tergugat

Islam akan terus diangkat sebagai agenda dan pemacu pembangunan di negara ini. Dalam hal ini, komitmen dan kesungguhan kerajaan menjadi tanggungjawab wajib dilaksanakan atas kepercayaan diberikan rakyat.

Dari sudut undang-undang, mengangkat Islam sebagai agenda dan pemacu pembangunan adalah sejajar dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan. Lebih utama dari itu, prinsip pertama dan kedua Rukun Negara, iaitu kepercayaan kepada Tuhan serta Kesetiaan Kepada Raja dan Negara berfungsi sebagai pemelihara dan pelindung Islam.

Apa jua agenda berkaitan Islam di sebalik perubahan kuasa politik yang membentuk kerajaan adalah terikat dengan Perlembagaan Persekutuan dan berada dalam pengetahuan Majlis Raja-Raja serta Yang di-Pertuan Agong, Sultan dan Raja selaku ketua agama negeri.

Apa jua blok dominan dan siapa juga menjadi Perdana Menteri selepas ini, Islam tetap diangkat sebagai agenda nasional dan dijadikan pemacu pembangunan negara. Justeru, tidak perlu ditimbulkan kesangsian dalam naratif persaingan politik di negara ini bahawa Islam akan terancam atau tergugat jika kerajaan dibentuk oleh blok tertentu.

Hakikatnya, sama ada PKR, UMNO dan AMANAH dalam blok kerajaan mahupun PAS dan BERSATU dalam blok pembangkang, semua parti ini meletakkan Islam sebagai tujuan dan matlamat perjuangan masing-masing.

Latar belakang ini sepatutnya mendorong parti dan blok politik bersaing menawarkan agenda Islam dan pembangunan terbaik dalam meraih sokongan dan kepercayaan, terutama masyarakat Islam.

Penulis adalah Profesor Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia (UUM)

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *