Home » Langit Terbuka » Kristian kena patuh undang-undang negara – anak didik Zakir Naik

Kristian kena patuh undang-undang negara – anak didik Zakir Naik

KUALA LUMPUR 22 Mei – Undang-Undang di Malaysia sudah termaktub bahawa orang Kristian tidak boleh mengkristiankan orang Islam kerana Perlembagaan Malaysia tidak membenarkan mereka untuk berbuat demikian kata, Presiden Skuad Mubaligh Malaysia, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu.

Beliau berkata, amat baik undang-undang di Malaysia masih berjaya mengawal hal ini daripada berlaku, tetapi kita tidak seharusnya hanya berpegang kepada undang-undang semata-mata.

“Sepatutnya, itu yang kita perlu buat di Malaysia, namun dalam masa yang sama sebagai rakyat Malaysia kita perlulah mematuhi undang-undang yang ada,” katanya.

Penganut Kristian juga bila sudah duduk di Malaysia ini maka perlulah mematuhi undang-undang yang ada, walaupun undang-undang yang ada tidak semua kita setuju tetapi undang-undang yang telah termaktub perlulah kita hormati dan patuhi.

Setahu saya, kebiasaannya puak Kristian yang datang berdakwah kepada orang bukan Kristian adalah, dengan cara lebih banyak membantu dari sudut ekonomi dan kenapa perkara ini terjadi, sebab kita orang Islam sendiri tidak buat kerja kita.

“Mana tidaknya bila kita nampak orang susah kita caci maki, sudahlah taknak bantu, jika hendak membantu sekalipun, kita wujudkan bermacam-macam birokrasi yang kita lakukan sehingga menyukarkan saluran bantuan untuk diberikan,” katanya.

Beliau berkata, kita tidak memudahkan perkara itu, dan apabila ada dari agama lain yang cuba membantu orang-orang susah ini dengan memudahkan cara dan pengagihan bantuan tersebut, kita marah dan salahkan mereka.

Mengenai kaedah yang biasa digunakan oleh pihak Kristian untuk berdakyah Zamri berkata, selalunya mereka akan melalui jalan kebajikan, jika dahulu, ianya melalui pendidikan dan diserap masuk ke pemikiran melalui pembelajaran dari sekolah Katolik seperti Saint Paul dan sebagainya, dan daripada itu mereka mendapat pendedahan tentang agama Kristian.

“Selain itu, ada juga pihak gereja pergi ke rumah-rumah masyarakat umum, datang berbual dan berkawan sebelum berdakyah,” katanya.

Zamri berkata, beliau tahu niat mereka (pendakwah Kristian) baik, dan mereka rasa mereka nak buat benda yang baik serta mereka rasa mereka perlu selamatkan umat dan sebagainya namun, tidak kira negara mana sekalipun dan di mana mereka ada sekalipun, tolong patuhi undang-undang yang ada di negara tersebut.

Menurutnya, jika di Malaysia mereka sudah diberitahu yang mereka tidak boleh buat dakyah terhadap orang Islam di sini, maka patuhilah undang-undang yang ada dan kalau dia kena tangkap kerana tidak patuhi undang-undang yang ada janganlah pula mereka salahkan negara Malaysia. – https://www.menara.my

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *