Home » Langit Terbuka » Kritikan buka mata dunia terhadap Islam

Kritikan buka mata dunia terhadap Islam

IPOH 18 Okt. – Kritikan dan kecaman terhadap Islam oleh Barat mampu menjadi penyebab kepada masyarakat dunia untuk me­ngenali agama itu dengan lebih dekat.

Canselor Online Islamic University, Dr. Abu Ameenah Bilal Philips berkata, walaupun pelbagai cara digunakan untuk melemahkan Islam, tindakan itu bukan sahaja tidak berjaya malah mengeratkan lagi hubu­ngan antara negara-negara Islam.

Malah katanya, setiap cabaran yang dihadapi juga menjadikan negara-negara Islam lebih kuat dan bersatu.

“Kewujudan internet menyebabkan sebahagian masyarakat yang sebelum ini tidak mengetahui tentang Islam mula mahu tahu mengenai agama ini.

“Selain itu, di sebalik pelbagai insiden yang mengaitkan Islam dengan keganasan termasuk 11 September dan kumpulan pengganas Daesh, ia secara tidak langsung juga telah membuka mata dunia untuk le­bih­ mengenali Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Dunia (WCIT) 2016 di Hotel Ca­suarina@Meru di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Datin Dr. Azizan Baharuddin berkata, sebarang bentuk kemajuan tidak akan memberi makna sekiranya tidak diiringi dengan nilai-nilai etika global.

Menurut beliau, ini kerana kemajuan dan etika yang merangkumi soal hidup dan pekerjaan mempunyai kaitan dalam memastikan evolusi kehidupan manusia sejagat.

“Kemajuan tidak bermakna kalau tidak disertai dengan etika global. Ia juga sering dikaitkan dengan agama terutamanya me­ngenai tanggungjawab di dunia dan akhirat.

“Sebagai contoh, kehidupan kita juga sebenarnya adalah satu seni arkitek. Sesuatu binaan pasti runtuh jika tidak disertakan dengan binaan kukuh yang berpunca daripada struktur binaan yang lemah. Keadaan ini sama apabila manusia tiada pegangan agama yang kuat,” katanya ketika berucap sebagai ahli panel sesi kedua dengan tema Perubahan Iklim dan Isu Kemanusiaan.

Presiden EcoKnights merangkap Pengerusi NGO Alam Sekitar Malaysia (Mengo), Yasmin Rashid pula menegaskan, walaupun ramai berpendapat isu-isu kemanusiaan boleh diselesaikan menerusi aplikasi teknologi dan kuasa politik, namun ia tetap memerlukan nilai-nilai moral dan etika yang kukuh.

Katanya, adalah menjadi satu cabaran yang besar untuk memastikan nilai-nilai moral dan etika yang kukuh dapat diadaptasi, diapli­ka­sikan dan dipraktikkan dalam kehidupan seharian.

“Memang ia satu cabaran yang besar untuk memupuk nilai-nilai moral dan etika dalam kalangan manusia. Contohnya, masih ramai yang menangkap ikan menerusi kaedah ‘bom.’

“Apa yang mereka tidak sedar adalah implikasi ‘bom’ ikan itu akan memusnahkan 95 peratus kehidupan marin termasuk alam sekitar, sekali gus memusnahkan punca rezeki mereka sendiri,” katanya.- https://www.utusan.com.my/

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *