Home » Langit Terbuka » Myanmar wajar diheret ke ICC

Myanmar wajar diheret ke ICC

PUTRAJAYA 18 Okt. – Pihak ber­kepentingan antarabangsa didesak menyiasat Kerajaan Myanmar dan seterusnya mengheret mereka ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) terhadap ke­kejaman yang dilakukan kepada komuniti Islam Rohingya.

Gesaan itu ditujukan oleh Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (Centhra) kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) susulan berita pembunuhan 26 umat Islam Rohingya pada minggu lalu.

Ketua Eksekutif Centhra, Azril Mohd. Amin berkata, terdapat banyak bukti jelas menunjukkan Myanmar melakukan genosid atau penghapusan etnik dan jenayah kemanusiaan seperti yang termaktub dalam Perkara 5 Statut­ Rom ICC.

“Jika dirujuk kepada undang-undang tersebut, pihak pendakwaraya ICC boleh memulakan penyiasatan dan melakukan pendakwaan ke atas Myanmar.

“Namun bagi memastikan per­­kara ini berlaku, pihak ber­ke­pentingan antarabangsa wajar mem­bawa kes ini ke hadapan de­ngan mengumpul bukti penindasan yang dilakukan ke atas umat Islam Rohingya,” kata­nya dalam sidang akhbar di sini se­ma­lam.

Pada 14 Oktober lalu, dunia dikejutkan berita pembunuhan 26 orang Islam Rohingya di bandar Maungdaw, Rakhinie ekoran kejadian sembilan polis Myanmar yang dibunuh oleh individu tidak dikenali.

Pada masa sama, Azril menjelaskan, umat Islam di seluruh negara tidak boleh mendiamkan diri dan hanya pandai berkata-kata sahaja tanpa melakukan sebarang tindakan bagi menghentikan segala kekejaman yang berlaku.

Katanya, sudah tiba masanya Suruhanjaya Tetap Bebas Hak Asasi Manusia (IPHRC) selaku badan di bawah OIC untuk campur tangan bagi menghalang kekejaman tersebut.

“Adalah pentingnya IPHRC sendiri mewujudkan satu badan khas untuk memulakan siasatan dan mendokumenkan segala bentuk penindasan sebagai bukti untuk dikemukakan ke ICC.

“Namun begitu, Centhra bersama sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang berpusat di Australia sedang merintis usaha ini agar nasib komuniti Islam Ro­hingya terus terbela,” katanya.- https://www.utusan.com.my/

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *