Home » Langit Terbuka » Kuasa besar wajib pikul tanggungjawab henti pertempuran di Palestin – Agong

Kuasa besar wajib pikul tanggungjawab henti pertempuran di Palestin – Agong

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. FOTO BERNAMA

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa masyarakat antarabangsa dan kuasa besar dunia wajib memikul tanggungjawab menghentikan pertempuran di bumi Palestin dengan serta-merta.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Mejar Jeneral Datuk Zahari Mohd Ariffin berkata langkah itu bagi memastikan keamanan, kestabilan dan mengelakkan pertumpahan darah yang lebih teruk di negara berkenaan.

“Seri Paduka menzahirkan rasa dukacita dan gusar dengan konflik terkini di bumi Palestin yang telah mengorbankan ratusan nyawa di kedua-dua pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zahari berkata Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan sokongan kepada ketetapan Kerajaan Malaysia yang menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengambil tindakan segera agar semua pihak menghentikan keganasan, sekali gus menghormati dan melindungi nyawa orang awam.

“Seri Paduka turut menyeru negara-negara Islam terutamanya Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk bersatu padu membantu menangani kesengsaraan dan masalah yang dihadapi oleh Palestin.

“Ini adalah kerana penafian hak asasi rakyat Palestin, terutamanya pembentukan sebuah negara merdeka dan berdaulat dan penindasan yang berterusan adalah punca utama ketegangan Israel-Palestin berterusan.

“Selain itu, ia juga telah diakui bahawa rakyat Palestin berterusan diselubungi pendudukan haram, sekatan dan penderitaan serta pencerobohan ke atas Masjid Al-Aqsa sejak sekian lama,” katanya.

Zahari berkata Seri Paduka bertitah Malaysia dan rakyatnya sentiasa bersolidariti bersama Palestin dan menyeru seluruh rakyat supaya terus memperjuangkan prinsip keadilan, sikap hormat menghormati, di samping menentang sebarang bentuk keganasan dan kezaliman sesama manusia.

Beliau berkata Al-Sultan Abdullah turut menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama untuk bersama baginda berdoa mengikut pegangan kepercayaan masing-masing agar pergolakan dan keganasan terbaharu itu dapat dihentikan segera.

Katanya, Seri Paduka juga mendoakan supaya rakyat Palestin dilindungi dan tanah air mereka dibebaskan daripada penjajahan dan penindasan rejim Israel.

Katanya, Al-Sultan Abdullah turut menyeru masjid dan surau di negara ini serta rakyat yang beragama Islam di kediaman sendiri untuk mengadakan solat sunat hajat dan doa selamat bagi memohon ihsan daripada Allah SWT untuk memelihara kesejahteraan rakyat Palestin.

Artikel Berkaitan

Majlis Hari Raya Aidilfitri Muhibah Madani

GOLONGAN bukan Muslim didekati YADIM menerusi pelbagai program dan pendekatan dakwah. YADIM Negeri Selangor umpamanya dengan kerjasama tiga rakan strategik iaitu MACMA,

SEMINAR Kepimpinan Altruistik MADANI

  SEMINAR Kepimpinan Altruistik MADANI merupakan sebuah program yang dilaksanakan dengan kerjasama rakan strategik YADIM Negeri Sembilan dan Melaka iaitu Institut Pendidikan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *