Home » Langit Terbuka » Kuasai BM dan jangan terlalu ‘drama’

Kuasai BM dan jangan terlalu ‘drama’

Yang di-Pertua Dewan Rakyat berharap Ahli Parlimen supaya tidak terlalu ‘drama’ walaupun menyedari bahawa rakyat gemar menyaksikan keadaan seperti itu

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof menasihatkan para wakil rakyat supaya meningkatkan penguasaan bahasa kebangsaan selain berbahas secara beradab.

Beliau juga berharap Ahli Parlimen supaya tidak terlalu ‘drama’ walaupun menyedari bahawa rakyat gemar menyaksikan keadaan seperti itu.

Walaupun secara keseluruhannya berpuas hari dengan mutu perbahasan Ahli-ahli Dewan Rakyat, tetapi Mohamad Ariff juga berharap wakil rakyat baharu dapat meningkatkan penguasaan bahasa Melayu.

Katanya, sesetengah wakil rakyat telah ‘menjadikan’ bahasa Inggeris sebagai bahasa Melayu sehingga menyebabkan pencemaran bahasa.

Beliau berkata, peningkatan penguasaan bahasa Melayu merupakan perkara yang harus diutamakan secara serta-merta oleh wakil rakyat.

“Saya berharap dapat menjadikan Parlimen kita Parlimen yang beraspirasi. Mungkin bukan terkenal di dunia, tetapi haruslah mempunyai nama baik di peringkat Asia Tenggara.

“Parlimen harus menjadi lebih cekap dan matang supaya ia menjadi kebanggaan rakyat,” katanya dalam wawancara bersama China Press.

Menurut Speaker Dewan Rakyat itu lagi, unsur sastera dalam politik termasuk berbalas berpantun di Parlimen dapat menenangkan keadaan dan adalah lebih baik berbanding berbaling kerusi.

Walau bagaimanapun, beliau mengakui pergaduhan adalah tidak dapat dielakkan sepenuhnya dalam Parlimen.

“Adalah sukar untuk mengelakkan babak pergaduhan dan bertikam lidah yang dramatik dalam Parlimen, ini kerana rakyat memang mahu lihat benda ini.

” Selagi keadaan terkawal dan wakil rakyat tidak keterlaluan, maka ia boleh diterima,” katanya.

Ditanya pandangan sesetengah Ahli Parlimen bahawa dirinya lebih cemerlang berbanding Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang merupakan Speaker sebelumnya, Mohamad Arif enggan memberi ulasan.

Beliau bagaimanapun berpendapat Pandikar Amin telah banyak berjasa kepada Parlimen dan sumbangannya harus diberi pengiktirafan.

“Yang sudah berlalu biar ia berlalu, sekarang merupakan permulaan baharu dan kerajaan baharu,” katanya. – FMT

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *