Home » Langit Terbuka » Kutipan kasar cukai LHDN melonjak

Kutipan kasar cukai LHDN melonjak

Menteri Kewangan berkata, jumlah kutipan itu mencipta satu sejarah baharu kutipan hasil cukai langsung negara dan turut mengatasi pencapaian terbaik kutipan cukai sama yang direkodkan pada tahun 2014 iaitu sebanyak RM133.700 bilion. - Foto LHDN

PUTRAJAYA – Kementerian Kewangan mengumumkan kutipan kasar cukai langsung negara oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi tahun lalu ialah sebanyak RM137.035 bilion iaitu meningkat 11.13 peratus atau RM13.723 bilion berbanding 2017.

Menterinya, Lim Guan Eng berkata, jumlah kutipan itu mencipta satu sejarah baharu kutipan hasil cukai langsung negara dan turut mengatasi pencapaian terbaik kutipan cukai sama yang direkodkan pada tahun 2014 iaitu sebanyak RM133.700 bilion.

“Kutipan cukai langsung bagi 2017 ialah sebanyak RM123,312 bilion. Peningkatan yang dicatatkan pada tahun lalu disumbangkan oleh peningkatan kutipan daripada komponen pembayar cukai seperti syarikat, individu, petroleum, koperasi, duti setem dan lain-lain.

“Situasi itu juga mencerminkan keberkesanan kepemimpinan bersih dan pentadbiran cekap, akauntabiliti dan telus. Peningkatan hasil ini juga menunjukkan bahawa pertumbuhan ekonomi masih menggalakkan pada 2018,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut Guan Eng, kutipan hasil daripada cukai pendapatan (selain petroleum) telah menyumbang kira-kira RM116.953 bilion atau 85.35 peratus daripada jumlah keseluruhan kutipan pada tahun lalu.

“Komponen syarikat merupakan penyumbang terbesar iaitu RM70.036 bilion atau 51.11 peratus, diikuti komponen individu berjumlah RM36.065 bilion atau 26.32 peratus dan kutipan hasil cukai petroleum berjumlah RM20.082 bilion atau 14.66 peratus.

“Selain itu, kutipan duti setem pula sebanyak RM5.934 bilion, kutipan cukai pegangan (RM3.117 bilion), kutipan Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) (RM1.467 bilion), kutipan cukai koperasi (RM0.171 bilion) dan Pusat Kewangan Luar Pesisir Antarabangsa Labuan (IOFC) serta lain-lain cukai (RM0.163 bilion),” katanya.

Selain itu katanya, prestasi kutipan yang sangat memberangsangkan ini jelas merupakan kesan daripada strategi-strategi yang efektif dan berkesan berkaitan percukaian yang ditetapkan oleh kerajaan.

Sementara itu katanya, ketelusan dan tahap integriti yang tinggi oleh kerajaan dalam membelanjakan setiap sen cukai yang dikutip daripada rakyat turut memainkan peranan yang amat penting dalam meningkatkan tahap pematuhan yang lebih baik dalam kalangan pembayar cukai dan menyumbang kepada peningkatan ini.

Dalam pada itu katanya, kerajaan menyeru pembayar cukai yang mempunyai isu pematuhan cukai agar menyertai Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) bagi mengelak dikenakan penalti 80 hingga 300 peratus apabila tempoh tamat pada 30 Jun nanti. – Utusan Malaysia

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *