KUALA LUMPUR: Kutipan zakat menerusi Skim Potongan Zakat (PZB) oleh Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) mencecah RM521.09 juta bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, meningkat lapan peratus berbanding RM486.28 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata peningkatan itu mencerminkan komitmen majikan dan pekerja dalam memperkukuh budaya berzakat menerusi kemudahan potongan gaji yang membolehkan pembayaran dilakukan secara konsisten setiap bulan.
Katanya, peranan majikan dalam membudayakan zakat perlu disokong dengan kemudahan pembayaran serta usaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan warga kerja.
“Melalui kemudahan dan sokongan yang diberikan, majikan dapat membantu kakitangan menunaikan kewajipan berzakat dengan lebih mudah dan teratur.
“Mungkin usaha ini kelihatan sederhana dari sudut pentadbiran, namun manfaatnya cukup besar kepada golongan yang memerlukan,” katanya pada Mesra Majikan 2026 meraikan majikan yang membuat potongan zakat kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan di sini hari ini.
Zulkifli berkata pelaksanaan Skim PZB turut membantu pekerja menunaikan zakat pendapatan secara lebih sistematik tanpa perlu menunggu penghujung tahun.
“Kaedah ini juga membantu mereka merancang kewangan dan melaksanakan tanggungjawab agama dengan lebih sistematik,” katanya.
Justeru, katanya, majikan perlu meningkatkan kesedaran berzakat menerusi hebahan, program penerangan dan perkongsian ilmu bagi membantu pekerja memahami kewajipan berkenaan serta menggalakkan penyertaan dalam skim itu.
Pada majlis itu, PPZ-MAIWP turut menyampaikan 25 pengiktirafan kepada majikan sektor awam dan swasta sebagai penghargaan terhadap komitmen mereka membudayakan zakat dan wakaf dalam kalangan pekerja.
Pengiktirafan itu disampaikan menerusi tiga kategori, iaitu empat Anugerah Khas Zakat 2026, 18 Anugerah Majikan Terbaik Zakat 2026 dan tiga Anugerah Majikan Terbaik Wakaf 2026.
Penerima Anugerah Khas Zakat 2026 termasuklah Petroleum Nasional Berhad (PETRONAS), Malayan Banking Berhad, Habib Jewels Sdn Bhd dan Markas Angkatan Tentera Malaysia.
Mengulas pengiktirafan itu, Ahmad Azam berkata penghargaan berkenaan diharap menjadi dorongan kepada majikan untuk terus memperkukuh budaya berzakat dan berwakaf.
“Penganugerahan ini adalah penghargaan terhadap komitmen majikan dalam menjayakan zakat dan wakaf. Kejayaan organisasi bukan hanya diukur melalui pencapaian, tetapi juga manfaat yang diberikan kepada masyarakat,” katanya.- BERITA HARIAN



KOMEN