Home » Langit Terbuka » Lakar sejarah Islam di Finland

Lakar sejarah Islam di Finland

Penyerahan surat lantikan pemegang amanah pusat Islam yang bakal dibangunkan di Finland. - Foto Sinar Harian

KUALA LUMPUR – Sebuah Pusat Khidmat Quran Dunia dan Pusat Islam Finland bakal dibangunkan di Finland demi manfaat kira-kira 100,000 umat Islam di negara Eropah itu, sekali gus mencipta sejarah pembinaan masjid pertama di situ.

Projek dikenali sebagai Pusat Masyarakat Penyayang Finland itu adalah inisiatif Kumpulan 7 Internasional Sdn Bhd dan arRabitoh Al Islamiah Turku Finland yang memetrai kerjasama di bawah Projek Wakaf Quran Dunia (PWQD).

Presiden Kumpulan 7 Internasional Sdn. Bhd, Yaakob Wan Harun, berkata, projek berkenaan secara langsung menjadikannya sebagai pusat dakwah bagi bagi  membangunkan Islam di seluruh Eropah.

Menurutnya, perlaksaannya dan operasi pebangunan projek itu adalah 100 peratus dibiayai menggunakan dana wakaf.

“Pembangunan ini merupakan keperluan kritikal di Finland demi masyarakat Islam di sana. Bayangkan 100,000 umat Islam di sana tetapi tiada masjid, tiada sekolah dan pusat khas untuk mereka memahami Al-Quran dan Islam.

“Kempen pembangunan masjid pertama Finland dan kompleks komuniti penyayang ini dilaksanakan dengan seliaan dan naungan konsulat jeneral Malaysia, Jeddah,” katanya dalam sidang media berhubung projek itu, di sini, hari ini.

Pusat Masyarakat Penyayang Finland mengandungi tujuh bangunan utama iaitu masjid pertama Turku Finland, Pusat Khidmat Quran Dunia & Cawangan Akademi (Al-Quran) alManar; Pusat Masyarakat Penyayang Finland & Pejabat Antarabangsa Perkim Taman Melawati; Dewan Kemasyarakatan Masyarakat Penyayang Finland, Hotel Istana Tamu & Pusat Pentadbiran Wakaf Quran Dunia serta penempatan kakitangan.

Turut terlibat, Pusat Pendidikan Islam dan Al-Quran Masyarakat Penyayang Finland; dan sejumlah pusat perniagaan, pusat produk halal dan restoran Pusat Masyarakat Penyayang Finland.

Yaakob, berkata, pihaknya berbesar hati dan berterima kasih dengan kerajaan Finland yang bersikap adil dalam memberi sokongan terhadap keperluan umat Islam di sana.

“Kami diberi kebenaran membangunkannya di atas sebidang tanah dibeli dengan harga RM5 juta di kawasan yang begitu strategik. Jumlah kos keseluruhan bagi membangunkan projek ini adalah antara RM70 juta hingga RM100 juta dengan menyasarkan tempoh tiga tahun dibangunkan,” katanya.

Tambah beliau, demi merealisasikan rancangan berkenaan, satu sesi jelajah selama 40 hari yang turut disertai oleh Ulama dan Pendakwah berpengaruh di Finland, Syeikh Zaid Qaid Mohammed Esmail dan Syeikh Adan-Nassir Muhamed Gadid.

“Sesi jelajah akan dilaksanakan di Kuala Lumpur, Kedah, Kelantan, Sabah, Jakarta dan Acheh bagi menjelaskan masalah Islam di Finland, seterusnya kita akan buat jualan wakaf al-Quran dengan kerjasama Kumpulan Media Karangkraf untuk mengumpul dana pembangunan projek yang dijangka dilancarkan Mei depan menerusi satu majlis pecah tanah di sana nanti,” katanya.

Terdahulu, Yaakob menyerahkan surat perlantikan pemegang amanah Pusat Masyarakat Penyayang Finland yang terdiri daripada pelbagai agensi, bertanggungjawab memastikan kelancaran operasi pusat itu nanti. – SINAR HARIAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *