Home » Langit Terbuka » Larangan merokok tidak jejas pelancongan

Larangan merokok tidak jejas pelancongan

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan berkata, industri pelancongan mengikut aliran semasa, justeru sekiranya banyak negara mengamalkan larangan merokok, beliau yakin Malaysia tidak menghadapi sebarang masalah untuk mengamalkannya. - Foto The Star

KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan larangan merokok di premis makanan sejak 1 Januari lalu, tidak menjejaskan kedatangan pelancong ke negara ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Rashidi Hasbullah, berkata ia berikutan, pelancong akan mematuhi segala larangan dan peraturan negara dilawati.

Malah katanya beliau tidak melihat larangan itu satu halangan buat negara dalam menyasarkan pendapatan sebanyak RM92.2 bilion menerusi kedatangan 28.1 juta pelancong ke Malaysia pada tahun ini.

“Larangan ini tidak menimbulkan masalah malah di negara lain seperti di Amerika, kawasan hiburan juga tidak dibenarkan merokok.

“Di Jepun pun sama, kawasan kaki lima juga tidak boleh merokok sesuka hati, ada tempat khas disediakan. Malah sebuah bandar di Iloilo, Filipina larangan merokok adalah untuk keseluruhan bandar berkenaan,” katanya.

Rashidi berkata, industri pelancongan mengikut aliran semasa, justeru sekiranya banyak negara mengamalkan larangan merokok, beliau yakin Malaysia tidak menghadapi sebarang masalah untuk mengamalkannya.

“Kalau kita melancong pun, kita akan patuhi larangan di negara kita lewati. Saya kira yang tidak gemar dengan larangan ini bukan pelancong luar negara tetapi pelancong domestik,” katanya.

Menerusi larangan itu, semua premis makanan diwartakan sebagai tempat larangan merokok dan ia selari dengan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018.

Mengikut Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004, mana-mana individu yang melakukan kesalahan merokok di tempat larangan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *