Home » Langit Terbuka » Lawatan masjid dedah pelajar Jepun kepada Islam

Lawatan masjid dedah pelajar Jepun kepada Islam

TOKYO, 3 Jun – Walaupun pelbagai persepsi negatif diberikan terhadap Islam, namun pelajar di Jepun masih mencari jawapan, termasuk kebenaran mengenai ajaran sebenar Islam dan mengapa agama itu sering dipersalahkan.

Bagi memberi pendedahan mengenai Islam, kebanyakan sekolah di Jepun mengambil inisiatif dengan mengadakan lawatan sambil belajar ke masjid besar di Tokyo.

Usaha itu ternyata berhasil apabila ramai pelajar yang mengikuti lawatan itu teruja dengan ajaran sebenar Islam, sekali gus menghilangkan persepsi negatif mereka terhadap umat Islam.

“Di tempat seperti ini mereka dapat melihat sendiri dunia Islam yang sebenar dan mentafsir sendiri bagaimana ajaran yang dibawa oleh Islam,” kata seorang guru yang bertanggungjawab melaksanakan lawatan itu, Akiko Kobayashi.

Katanya, beliau mahu pelajarnya melihat sendiri bagaimana umat Islam sentiasa bantu membantu dan menyokong antara satu sama lain dalam kehidupan harian mereka.

Selain itu, katanya, lawatan itu turut mendedahkan kepada pelajarnya untuk memahami bahawa agama Islam adalah agama yang membawa keamanan.

“Saya mahu mereka menghilangkan perasaan negatif dan berat sebelah terhadap Islam,” ujarnya.

Sementara itu, jurucakap masjid, Shigeru Shimoyama berkata, beliau percaya pendidikan melalui sekolah adalah cara terbaik yang dilakukan bagi mendedahkan kepada pelajar mengenai agama Islam yang sebenar.

“Saya percaya pendidikan sekolah adalah cara terbaik di Jepun supaya pelajar lebih memahami Islam…semua guru dialu-alukan untuk membawa pelajar mereka ke sini,” katanya.

Shimoyama berkata, sebelum ini Masjid Tokyo hanya menarik perhatian warga tua dan pelajar seni halus yang datang untuk mengkaji seni bina masjid bagi lakaran mereka.

“Tetapi kini, bilangan pengunjung masjid bertambah dengan lawatan daripada sekolah rendah dan sekolah menengah yang meningkat dengan ketara,” katanya.

Kira-kira 100,000 umat Islam menetap di negara matahari terbit itu dan 10,000 daripadanya adalah rakyat Jepun. – Agensi

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *