PUTRAJAYA – Selepas kejayaan penganjuran musim pertama tahun lalu yang membuka ruang kepada bakat-bakat muda mengenali dunia perfileman daripada sudut dakwah, Layar Dakwah YADIM (LDY) kini kembali pada tahun ini dengan penyertaan 45 peserta.
Penyertaan lebih besar pada tahun ini terdiri daripada pelajar Kolej Darul Hikmah, Universiti Multimedia serta peserta persendirian, termasuk yang hadir dari Negeri Sembilan untuk menyertai LDY 2.0 ini.
Turut menyertai program ini ialah seorang peserta berbangsa India dan seorang berbangsa Cina, menambah kepelbagaian latar peserta yang mengikuti LDY 2.0.
Sepanjang Ogos hingga Oktober, peserta akan didedahkan kepada asas dan proses penghasilan filem, bermula dengan pemahaman patuh syariah, penulisan skrip, teknik produksi hinggalah kepada penggambaran.
Musim terdahulu telah membuka ruang kepada peserta untuk mengenali dunia perfileman dengan lebih dekat, termasuk melalui perkongsian dan bimbingan daripada pengarah serta penggiat industri. Pendekatan ini diteruskan dalam LDY 2.0 dengan penglibatan beberapa nama besar selaku pembimbing seperti Dato’ Jurey Rosli, Aziz M. Osman, Rashid Sibir, Bade Haji Azmi, Along Kamaluddin, Mior Hashim Manap dan Heykal Hanafiah.
Bagi sesi pertama pada 8 Ogos, peserta berpeluang mengikuti perkongsian bersama Haji Zabidi Mohamed daripada Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM). Beliau yang mempunyai pengalaman luas dalam industri, telah berkongsi pengetahuan dan pengalamannya bersama peserta, khususnya berkaitan dunia penerbitan dan penghasilan kandungan.
Dalam tempoh tiga bulan ini, peserta bukan sekadar belajar mengenai kamera atau teknik penggambaran. Mereka turut melalui proses bagaimana sebuah cerita dibina, skrip disediakan dan idea diterjemahkan kepada sebuah karya yang boleh ditonton.
Penganjuran LDY ini seiring dengan pendekatan Malaysia MADANI yang memberi ruang kepada anak muda mengembangkan bakat, menimba ilmu dan menyumbang melalui bidang yang mereka ceburi. Inilah antara bentuk MADANI Membantu yang dekat dengan kehidupan, menyediakan ruang dan bimbingan supaya bakat yang ada tidak berhenti sebagai minat, tetapi boleh berkembang menjadi kemahiran dan karya yang bermanfaat.



KOMEN