Home » Langit Terbuka » Lelaki didakwa tipu guna nama pusat tahfiz

Lelaki didakwa tipu guna nama pusat tahfiz

Gambar hiasan- Foto Arkib

Kuala Lumpur – Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tiga pertuduhan menipu dalam urusan mendapatkan sumbangan pengajian daripada Jakel Trading Sdn Bhd, membabitkan nilai berjumlah RM270,000.

Mohamed Noor Mohamed Amin, 49, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Bagi pertuduhan pertama hingga ketiga, lelaki itu didakwa memperdayakan Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel, 50, untuk mempercayai bahawa akaun Bank Islam bernombor 02048010019423 adalah milik Maahad Tahfiz dan Pengajian Islam Darul Al-Hijrah, Baling, Kedah, sedangkan akaun bank itu adalah milik tertuduh sendiri.

Dia didakwa dengan curangnya mendorong pihak syarikat itu untuk memindahkan wang dan cek berjumlah RM270,000 dalam akaun bank miliknya, yang mangsa tidak akan menyerahkan jika tidak diperdayakan sedemikian.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Jakel Mall, Lot 159, Jakel Square, off Jalan Munshi Abdullah, di sini antara 2019 dan 2021 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan hendaklah dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Zulaaikha Mohd Apandi menawarkan jaminan RM100,000 bagi kesemua pertuduhan itu, namun peguam Nuruh Huda Razali yang mewakili tertuduh merayu jumlah jaminan dikurangkan kepada RM10,000 atas alasan anak guamnya perlu menanggung dua orang anak dan seorang isteri yang menghidap penyakit kanser payudara.

Mahkamah membenarkan Mohamed Noor diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Ogos untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *