Perdana Menteri menjelaskan, Wawasan Kemakmuran Bersama membawa maksud pertumbuhan yang lebih saksama untuk negara, memberikan nilai yang lebih tinggi kepada ekonomi negara dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang kompetitif dan berintegriti dengan pengagihan ekonomi yang dilakukan dengan baik.

Kemakmuran Bersama adalah usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang terus menerus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil dan inklusif di setiap peringkat kumpulan pendapatan, etnik, wilayah serta rantaian bekalan sehingga mewujudkan rasa keharmonian dan kestabilan dalam kalangan rakyat menjelang 2030.

“Untuk makluman semua, matlamat utama wawasan ini adalah untuk menyediakan taraf hidup yang wajar kepada semua rakyat Malaysia menjelang 2030. Ini selaras dengan matlamat yang didukung oleh United Nations Agenda 2030 untuk mencapai Agenda Pembangunan Mampan di mana pendekatan pembangunan inklusif tidak akan meminggirkan sesiapa pun di bawah prinsip ‘leaving no one behind’,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap melancarkan WKB 2030 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini. Yang hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Sementara itu, jelas Dr. Mahathir, terdapat tiga objektif yang ingin dicapai melalui WKB 2030 iaitu pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan dan negara yang bersatu, makmur dan bermaruah. – Utusan Malaysia