Home » Citra Yadim » Kembalikan fungsi asal masjid

Kembalikan fungsi asal masjid

IPOH – Kerajaan amat berharap semua jawatankuasa masjid seluruh negara berusaha mewujudkan program yang dapat mengimarahkan masjid masing-masing serta mengembalikan peranannya sebagaimana yang sepatutnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri,Yang Berhormat Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf berkata, sejarah Islam membuktikan bahawa masjid merupakan institusi penting yang bukan sekadar untuk bersolat dan iktikaf sahaja.

“Masjid juga menjadi pusat pendidikan, tempat perjumpaan dan interaksi, pusat untuk meraikan perayaan-perayaan, riadah dan sebagainya, pusat pentadbiran, kebajikan, malahan menjadi tempat urusan ekonomi.

“Dengan sebab itu, masjid sebenarnya menjadi nadi kepada kehidupan bermasyarakat yang penting dan fungsi ini perlu dikembalikan semula,” katanya semasa merasmikan Festival Ummatic 2.0 di perkarangan Masjid Muhammad Al Fateh di sini pada 4 Oktober.

Festival yang kali kedua diadakan itu bertujuan menjalankan kegiatan edu dakwah untuk semua termasuk kepada bukan Islam.

Ia dianjurkan Masjid Muhammad Al Fateh dengan kerjasama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan beberapa agensi lain.

Hadir sama ke majlis ini ialah kepimpinan agensi agensi agama Islam di Perak, Timbalan Yang Dipertua YADIM, Yang Berusaha Ustaz Zolkharnain Abidin dan wakil wakil badan bukan kerajaan.

Dalam pada itu Mujahid berkata, selari dengan langkah kerajaan menerapkan gagasan Rahmatan Lil Alamin ini, usaha mengimarahkan masjid ini sememangnya bertepatan dengan apa yang hendak dicapai.

“Sememangnya apa yang dilaksanakan ini juga selari dengan usaha kerajaan agar Islam itu difahami dalam konteks sebenar dan tidak jumud,” ujarnya.

Menyentuh mengenai festival ini, Mujahid berkata kejayaan YADIM dan Masjid Muhammad AL Fateh menganjurkan Festival Ummatic seharusnya menjadi contoh kepada semua masjid-masjid yang ada di negara ini agar proaktif mengimarahkan masjid masing-masing dengan pelbagai aktiviti berfaedah.

Tambahnya, melihat kepada pengisiannya, pendekatan yang digunakan ini mampu menarik masyarakat untuk mendekati diri dengan institusi masjid dan sekaligus tidak hanya menganggap ia hanya untuk tempat beribadah semata-mata.

“Tahniah kepada pihak pengurusan dan YADIM,malah siapa tahu, mungkin kita boleh anjurkan Karnival Rahmah Peringkat Kebangsaan di Perak pada tahun hadapan,” katanya.

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *