Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, beliau berpuas hati dengan jumlah kehadiran peserta ke program tersebut yang diaturkan dalam masa singkat.

Menurutnya, isu sama ada kurang mendapat sambutan tidak patut dimainkan kerana tujuan utama adalah menyampaikan Deklarasi Kedamaian Kuala Lumpur 2019 yang membawa lima mesej kedamaian.

“Soal ramai tak ramai itu perkara subjektif, tangkap gambar dari atas boleh tunjuk ramai atau tidak. Tapi kenapa orang tak lihat mesejnya kerana itu yang patut dibincangkan.

“Malahan, dalam dunia media sosial hari ini semua program kita disiarkan secara langsung dan saya sempat tengok semalam bahawa ratusan ribu orang sedang menonton (di Facebook),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Rahmah Masjid di Masjid Al-Fateh, Tanjung Pauh, di sini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) negeri, Datuk Dr. Ismail Salleh.

Semalam, kira-kira 2,000 orang pelbagai bangsa dan agama menyertai Solidariti Kedamaian di Dataran Merdeka susulan tragedi berdarah akibat serangan pengganas di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand minggu lalu.

Dalam pada itu, Mujahid bersimpati terhadap Mufti Perlis, Datuk Mohd. Asri Zainul Abidin ekoran keretanya hampir musnah setelah disyaki dibakar ketika diletakkan di kediamannya.

“Saya tidak mahu membuat apa-apa spekulasi kerana kita perlu serahkan kepada polis, saya yakin polis dapat merungkai kenapa ia berlaku tetapi saya doakan agar tiada unsur-unsur yang membimbangkan dari segi ancaman keselamatan dan sebagainya.

“Perkara-perkara sebegini yang menyebabkan kita perlu adakan himpunan seperti semalam kerana kita tidak mahu hanya kerana beza pandangan sampai ada unsur begini yang mungkin lebih teruk boleh mengancam nyawa,” ujarnya. -Utusan Malaysia.